SAMA ada isu panas, suam-suam kuku atau sejuk, semuanya menjadi perhatian masyarakat dan menjadi modal untuk netizen mengupasnya.
Sebelum melabuhkan tirai tahun ini, mStar Online membawa anda mengimbas kembali antara berita yang 'panas' di portal ini sepanjang tahun 2018.
Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) sehingga membawa kepada pertukaran kepimpinan negara menjadi isu nasional dan antarabangsa.
Malah, kemunculan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri buat kali kedua mencatatkan senario baharu dalam dunia politik.
Bagaimanapun, kisah beg tangan birkin mengungguli carta teratas berita paling hangat di mStar Online susulan pendedahan mengenai pemindahan barangan jenama peribadi, didakwa milik isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Laporan polis dibuat oleh Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ben Ali menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan lebih kurang 50 buah tas tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan dari sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri ke beberapa buah unit kondominium di Pavillion Residence KL.
Dalam kenyataan bersama itu, beliau berkata, setiap satu tas tangan yang diisi di dalam kotak berasingan itu dianggarkan bernilai RM200,000 ke atas dengan setiap kotak tertera label nama si pemberi kepada penerima, dipercayai penerimanya adalah Rosmah, dan meminta pihak polis melakukan siasatan.
Ben bersama Bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali selepas membuat laporan polis. Foto Facebook Ben Ali
Umum mengetahui beg tangan Birkin daripada pembuat barangan mewah Hermes ini berharga tinggi, mencecah ratusan ribu ringgit untuk sebuah sahaja.
Selain menjadi simbol kedudukan, beg tangan itu juga dikatakan sebagai pelaburan yang lebih baik daripada emas. Kiranya, berbaloi-baloi buat setiap pemiliknya.
Mengenai siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hampir 300 kotak beg berjenama dan berpuluh-puluh beg dipenuhi wang tunai dan barang kemas adalah antara barangan dirampas polis dalam serbuan itu.
Namun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan bahawa penyitaan beg tangan dan barangan mewah lain dari kediaman dikaitkan dengannya menimbulkan persepsi negatif, sedangkan kebanyakannya adalah hadiah diberikan kepada isteri dan anak perempuannya dan tiada kaitan dengan 1MDB.
Berita bertajuk ‘Cubaan pindah 50 beg tangan Birkin, laporan polis dibuat’ yang disiarkan pada 12 Mei 2018 mencatatkan lebih setengah juta page view.
Identiti Nur Sajat jadi tanda tanya
Awal tahun ini, usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman hangat diperkatakan dengan kontroversi mengenai identitinya yang menimbulkan tanda banyak pihak.
Pelbagai spekulasi dan khabar angin dilemparkan terhadap ahli perniagaan yang berusia 33 tahun ini, termasuk dakwaan yang menyatakan dirinya adalah 'mak nyah'.
Bagi meredakan kekecohan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil mencari jalan penyelesaian untuk mendapatkan pengesahan identiti sebenar Nur Sajat.
Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof mengadakan pertemuan dengan Nur Sajat, termasuk ibu bapa usahawan itu.
Pertemuan antara pihak Jakim dan Sajat bersama ibu bapa usahawan itu.
Mohd Izwan mendedahkan identiti Nur Sajat sebagai khunsa, iaitu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin, seperti yang dimaklumkan oleh kedua ibu-bapanya.
“Ye betul, ibu bapa Sajat telah bersumpah bahawa Sajat adalah khunsa,” kata Mohd Izwan kepada mStar Online.
Beliau yang juga pakar dalam menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagaimanapun menjelaskan bahawa pengakuan atau sumpah tetap memerlukan pengesahan pihak berautoriti dari sudut perubatan.
Malah, Jakim telah menawarkan bantuan agar Sajat mengikuti beberapa prosedur pengesahan jantinanya oleh pakar perubatan yang bertauliah dan diperakui kerajaan.
Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada Jakim mahupun di pihak Nur Sajat berhubung identiti sebenarnya, tetapi sebuah video yang dimuat naik beliau di laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini memaparkan perbualan bapanya yang memberitahu usahawan itu sebagai perempuan.
Berita bertajuk ‘Akhirnya Jakim dedah identiti Sajat’ yang disiarkan pada 15 Februari 2018, mencatatkan hampir 220,000 page view.
Anwar kembali ke pentas politik
Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim turut menjadi tumpuan apabila beliau mendapat pengampunan penuh selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah pekenan rayuan pengampunannya, 16 Mei lalu.
Bapa Reformasi Malaysia itu sebelum ini berdepan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Kelibat Anwar ternyata mencuri perhatian lensa kamera sebaik sahaja muncul dekat laluan keluar dari Unit Kemasukan Pesakit menuju ke kenderaan Jabatan Penjara untuk pergi ke Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Anwar sewaktu keluar dari Unit Kemasukan Pesakit menuju ke kenderaan Jabatan Penjara untuk pergi ke Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong. Foto AZHAR MAHFOF
Kembalinya beliau dalam dunia politik lebih rancak apabila bergelar ahli Parlimen selepas menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.
Ia dikatakan sebagai sebahagian daripada rancangan Pakatan Harapan (PH) bagi melantik Anwar sebagai perdana menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Baca lebih lanjut di https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/12/31/birkin-sajat-anwar/#G7IfpkAaKjcWfFx7.99
No comments:
Post a Comment