Bukan calang-calang orangnya... rela jalan kaki KL-Ipoh kerana seorang wanita, lebih tragis si dia larikan diri - "Abang Wan terkejut, terus hulur RM400"
Lebih mencabar, Keow Wee Loong, tidak membawa sebarang wang ringgit dan hanya bermalam di tepi jalan sepanjang pengembaraan yang belum berakhir itu.
Terbaharu, video dikongsi jurugambar berusia 32 itu yang memaparkan seorang lelaki Kelantan dikenali sebagai Abang Wan turut menjadi tular.
Dalam video berkenaan, Abang Wan yang ditemuinya secara kebetulan di Tapah menawarkan wang RM400 setelah mengetahui kisah perjalanannya dari ibu negara.
"Saya berjalan dari KL dan tidak pasti tujuan sebenar. Saya berjalan sejauh yang saya mampu. Kini saya berada di Ipoh, 210 kilometer (km) dari kediaman saya.
Lelaki dikenali sebagai Abang Wan berkeras mahu memberikan wang buat Keow setelah mengetahui kisah dia berjalan kaki dari KL.
"Saya berjumpa Abang Wan di Tapah. Dia duduk bersebelahan saya sambil merokok. Saya cerita kisah diri sendiri dan kenapa saya berjalan.
"Apabila dia sedar saya berjalan dari KL, dia terkejut dan datang kepada saya memberikan RM400. Dia mahu saya buka beg dan simpan duit itu," ujar Keow kepada mStar.
Selain mendirikan khemah di kawasan R&R, Keow juga tidur di bawah jambatan di tepi jalan dalam perjalanan itu.
Ujarnya, dia menolak pemberian ikhlas itu dan sudah menganggap Abang Wan seperti saudaranya sendiri atas budi baik yang ditawarkan menerusi perkenalan singkat itu.
Jelasnya lagi, Abang Wan juga berkeras agar dia menerima wang berkenaan sehingga mereka berdua menjadi perhatian individu lain di lokasi itu.
"Saya memulakan perjalanan tanpa sebarang duit. Tapi saya gembira untuk tinggalkan semua harta. Abang Wan kata ambil duit itu, tak usah kata apa-apa.
"Saya kata, saya anggap dia seperti abang. Sebab itu saya tak boleh terima wang berkenaan. Kami ibarat bergaduh sehingga orang tengok dan mula menghampiri," ujarnya yang mengimbas pertemuan itu pada Jumaat lalu.
Dalam pertemuan sama, Keow turut menghadiahkan Jalur Gemilang buat Abang Wan untuk disimpan sebagai kenangan pertemuan dan perkenalan mereka.
Keow banyak memanjat bangunan tinggi dalam Malaysia dan luar negara.
Tambahnya lagi, dia turut ditawarkan bantuan duit dari beberapa individu sepanjang perjalanan itu, namun hanya mahu menerima makanan dan minuman sahaja.
"Bukan Abang Wan sahaja yang mahu hulurkan wang. Sepanjang enam hari perjalanan, saya tidur di tepi jalan. Saya kata saya berjalan dari KL, ramai yang nak tolong.
"Mereka terkejut dan cuba membantu. Ada juga saya tidur di bawah jambatan. Jika ada kawasan Rehat dan Rawat (R&R), saya akan dirikan khemah," ujarnya yang membawa beg seberat 15 kilogram (kg) dalam perjalanan itu.
Antara bangunan yang pernah dipanjat pemuda berusia 32 tahun itu.
Dalam pada itu, Keow mengakui dia berhadapan tekanan perasaan sehingga membawa kepada pengembaraan solo itu.
Ujar Keow, dia mahu memohon maaf kepada seorang wanita dikenali Lim Siang Hui yang banyak bersamanya sewaktu susah dan senang selama ini.
"Saya mahu minta maaf kepada Lim Siang Hui dan berharap dia maafkan saya. Depresi saya menyebabkan dia melarikan diri. Saya tak tahu bagaimana untuk mencarinya.
Ujar Keow, ramai yang bermurah hati dan mahu menghulurkan bantuan buatnya.
"Disebabkan depresi, saya sakiti dia... kerana itu dia pergi. Sebab ini juga saya berjalan. Dalam perjalanan ini saya temui ramai orang Malaysia yang baik hati sehingga membantu saya keluar dari masalah depresi," ujarnya.
Bagi mereka yang mengenali rapat Keow, dia bukanlah individu biasa sebaliknya pernah menjadi perhatian ramai sebelum ini gara-gara aksi beraninya yang memanjat pencakar langit di seluruh dunia termasuklah Marina 101 di Dubai, Shanghai 101 di Dubai dan The Exchange 106 di ibu negara.
Selain bangunan, dia juga pernah memanjat roda ferris di Perancis dan jambatan tinggi di negara China.
No comments:
Post a Comment