PETALING JAYA – Selepas dua kes gangguan seksual didedahkan Kosmo!, seorang lagi wanita berusia 30 tahun tampil mendedahkan dirinya hidup dalam ketakutan selepas diganggu oleh seorang lelaki secara maya sejak November 2021.
Bermula dengan panggilan video menerusi WhatsApp, gangguan itu berlarutan tidak hanya pada dirinya tetapi rakan-rakan serta ahli keluarga.
Lebih menakutkan apabila lelaki itu dengan berani menyatakan perasaan cinta ketika mangsa sedang menunaikan umrah.
Mangsa, Afifah Roslan berkata, lelaki yang mengganggunya merupakan bekas pekerja kafe miliknya sebelum pemuda itu berhenti kerja pada Februari tahun lalu.
“Lelaki itu mula menganggu saya pada November 2021 dengan membuat panggilan video di WhatsApp sebelum berlarutan kepada mesej. Dari awal lagi saya menolak permintaan lelaki tersebut untuk berkawa.
“Saya mahu kekalkan hubungan antara majikan dan pekerja sahaja. Sepanjang bekerja saya tak pernah rasa selesa dengannya,”katanya kepada Kosmo!.
Afifah berkata, dia telah meminta rakan niaganya untuk berurusan dengan lelaki berkenaan dan amaran telah diberikan selain berjanji tidak akan menganggu saya namun semuanya meleset.
Katanya, hidup saya terus trauma apabila lelaki itu yang berhenti kerja pada Februari tahun lalu kembali mengganggunya melalui pelbagai platform media sosial sebulan selepas itu.
“Saya sudah sekat semua akaun milik lelaki tersebut bagi mengelakkan daripada terus diganggu, namun lelaki tersebut lebih licik dan sanggup membuat pelbagai akaun di semua media sosial.
“Lebih teruk, lelaki itu turut mengikuti akaun perniagaan milik mangsa, ejen-ejen perniagaannya dan lebih mengerikan dia menganggu ahli keluarga saya,” ujarnya.
Ceritanya, lelaki tersebut pernah menggangu mangsa yang ketika itu sedang sibuk menunaikan ibadah umrah April tahun lalu.
“Dia ada meluahkan yang dia sudah menyimpan perasaan sejak pertama kali berjumpa saya. Tetapi dia kecewa kerana hasrat dia untuk berkawan dengan saya tidak tercapai,” ulasnya.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan yang merupakan seorang bekas penagih dadah meninggalkan pesanan suara menyatakan berjumpanya dua hari yang lalu.
“Dia hubungi saya menerusi nombor rasmi perniagaan kami. Pekerja saya pun takut nak bagitahu saya. Itulah gangguan paling teruk saya alami,” katanya.
Jelasnya, dia mengambil lelaki tersebut bekerja atas saranan rakannya yang mahu membantu memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang baru keluar dari pusat pemulihan.
“Oleh itu kami ambil lima orang pekerja termasuk lelaki berkenaan untuk bekerja di kedai kopi kami yang beroperasi pada Ogos 2021,” kata wanita itu.
Menurut Afifah, dua laporan polis telah dibuat di balai polis Puchong dan Ampang pada Mei tahun lalu dan bulan ini.
No comments:
Post a Comment