Bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi mendakwa pemecatannya berpunca disebabkan keengganan menyerahkan kerusi Parlimen Jerai kepada DAP.

Amanah hari ini mengesahkan pemecatan Phahrolrazi atas alasan melanggar perlembagaan parti, bagaimanapun dakwaan itu disangkal beliau dengan mendedahkan pemimpin atasan Amanah terpaksa tunduk kepada DAP dengan memberi kerusi Parlimen Jerai.

“Pada 14 Oktober, Jawatankuasa Perhubungan Amanah kedah mengambil ketetapan menolak kerusi Jerai diberikan kepada DAP dan sekiranya diberikan kepada DAP, kita menyatakan dengan tegas kami akan menarik diri daripada proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya semasa sidang media hari ini.

Phahrolrazi berkata selepas kecewa dengan pemimpin Amanah peringkat nasional yang dilihat tunduk kepada DAP, mereka mengambil keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti berkempen menjelang penamaan calon PRU-15.

“Amanah (Kedah) telah mengeluarkan satu surat bahawa untuk sementara ini kita tidak menjalankan apa-apa kegiatan pilihan raya,” katanya lagi.

Untuk rekod, DAP sudah mengumumkan akan bertanding di kerusi Jerai pada PRU-15 ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah Nasional, Datuk Hatta Ramli dalam kenyataan mengumumkan pemecatan Phahrolrazi kerana ngkari keputusan parti, dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

“Sehubungan itu, Ismail Salleh, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi Amanah Kedah.

“Kedua-dua keputusan di atas berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan awal hari ini.