Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo tidak berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan melibatkan skandal kapal tidak siap yang didedahkan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.

Pemimpin veteran DAP itu mempersoalkan dan mendesak supaya kerajaan menjelaskan berhubung status siasatan melibatkan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang tidak siap walaupun sudah dibayar sebanyak RM6 bilion sebelum ini, namun sehingga sekarang tidak ada satu pun yang sudah diserahkan.

“Kes misalnya berkenaan dengan LCS kapal-kapal yang mereka katakan wang sebanyak RM9 bilion telah pun dikeluarkan untuk kapal-kapal tersebut. Tetapi apa yang berlaku walaupun kontrak dia RM9 bilion tetapi sebanyak RM6 bilion telah pun dibayar kita tidak lihat sebarang pun kapal-kapal tersebut diserahkan.

“Bagaimana dengan apa yang telah pun berlaku kepada wang itu? Adakah ini satu kes juga di mana kita tidak akan lihat sebarang tindakan diambil,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Gobind juga menuntut supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan tindakan susulan berhubung skandal kapal LCS tersebut dan tindakan tegas perlu diambil dengan segera.

“Saya minta MACC (SPRM) apakah tindakan yang telah pun diambil? Kenapa kita tidak ada jawapan kepada aduan di bawa itu? Kepada saya senang. Kalau ada kesalahan dibuat, kita kena ambil tindakan. Ini adalah satu perkara yang perlu kita laksanakan, secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini semasa berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berjanji untuk membawa individu bertanggungjawab dalam skandal LCS ke muka pengadilan, namun membisu selepas membentuk kerajaan bersama rakan politik baharu mereka, UMNO-Barisan Nasional (BN).

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) oleh kerajaan yang diperintah BN dan UMNO melalui Kementerian Pertahanan pada 2011, dan mula berkuat kuasa pada 2013.

Isu kapal LCS mendapat perhatian susulan pendedahan PAC yang mendedahkan tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.