Nuffnang

Saturday, December 31, 2022

Fungsi TPM lebih tinggi daripada Agong? Dr Mahathir sindir Zahid

 


Apakah fungsi Timbalan Perdana Menteri (TPM) lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong? Soal bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini (30 Disember 2022).

Beliau memetik Artikel 33A Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.

“Saya membelek Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya dapati perbezaan dalam peruntukan di bawah Artikel 33A. Bacaannya seperti berikut: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.

“Jelas sekali bahawa dengan hanya didakwa dengan kesalahan sudah dianggap serius hinggakan individu seperti YDP Agong terhenti fungsi-fungsi sebagai YDP Agong.

“Ia tidak menyebut perlu didapati bersalah terdahulu maka fungsi Baginda terhenti. Dengan hanya didakwa sudah jelas bahawa perlembagaan menetapkan terhentinya fungsi Baginda,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Tanpa menyebut sesiapa, Dr Mahathir dipercayai merujuk sindirannya kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai TPM, tetapi masih berhadapan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Sekarang bagaimana pula dengan jawatan yang lebih rendah seperti Timbalan Perdana Menteri. Dia sudah didakwa dengan 40 pertuduhan. Namun dia masih dilantik sebagai TPM dan masih menjawat jawatan itu.

“Apakah fungsi TPM lebih tinggi hinggakan dia dilayan lebih tinggi berbanding YDP Agong? Ada keperluan bagi Reformasi di sini, pada fikiran saya.

“Takpalah, saya akan jaga cucu sekarang. Lupakan saja perkara ini,” sindir beliau lagi.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid, didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Semalam pula, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid berhubung kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti, pada 23 September lalu.

Media melaporkan petisyen itu menyenaraikan 15 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu membatalkan pembebasan Zahid dan mengarahkannya untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem VLN dan pusat sehenti di China.

Friday, December 30, 2022

SPRM siasat jualan saham Menara KL, tiga individu sudah dipanggil

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Dalam satu kenyataan hari ini (29 Disember 2022) SPRM berkata siasatan dilakukan untuk menentukan sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

“Setakat ini, SPRM telah memanggil tiga saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

“Sehubungan itu, SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini,” kata SPRM.

Sementara itu, Telekom Malaysia Bhd (TM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan Menara KL dimiliki oleh kerajaan Malaysia, manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu diberikan di bawah konsesi.

TM berkata, melalui anak syarikat milik penuhnya MKLSB, telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM ingin menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan terasnya iaitu telekomunikasi dan teknologi.

Oleh itu, selepas pertimbangan sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan menara daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM memutuskan pada Oktober 2021 untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL dan memaklumkan kepada kerajaan mengenau keputusan itu.

Menurut laporan Bernama, pada 2022, proses pemilihan bagi pemegang konsesi baharu telah diambil oleh kerajaan. TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik untuk mengambil alih saham MKLSB dan konsesi Menara KL.

MKLSB akan terus mengendalikan konsesi dan memastikan menara itu terus menarik pengunjung.

Pekerja akan diambil bekerja dengan MKLSB di bawah syarikat konsesi baharu selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melindungi kebajikan mereka semasa peralihan ini.

Kenyataan itu juga mengatakan bahawa rujukan dibuat dalam perubahan kepada pegangan saham MKLSB dalam pengumuman kewangan suku ketiga TM kepada Bursa Malaysia.

Menteri gelabah bila Bersatu minta Speaker kosongkan kerusi Papar

 

Menteri gelabah bila Bersatu minta Speaker kosongkan kerusi Papar


Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali mempertahankan tindakannya duduk di blok kerajaan dengan mendakwa dia dan tiga lagi rakan ‘sekongkolnya’ bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bukan Bersatu.

Oleh itu, dia yang sekarang ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) oleh kerajaan PH-BN, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tidak timbul sebarang isu ‘crossing the floor’ apabila mereka tidak duduk di blok pembangkang.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dipetik daripada laporan FMT hari ini, Armizan tidak pula menafikan dia pernah menjadi ahli Bersatu.

Untuk makluman, Armizan pernah menjadi Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah dari 6 April 2019 hingga 2020 dan Naib Ketua Penerangan Bersatu Sabah dari 2020 sehingga mengumumkan keluar parti itu baru-baru ini.

Tindakannya bersama ahli Parlimen (MP) Bersatu lain keluar parti menimbulkan konflik dan menguji keberkesanan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang berkuat kuasa sejak Oktober lalu.

Keempat-empat mereka bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu seperti diumumkan bekas Ketua Badan Pimpinannya yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Bagaimanapun, akta itu tidak terpakai di Sabah kerana belum diluluskan pada peringkat negeri itu.

Untuk rekod, sama seperti calon Bersatu yang bertanding atas tiket GRS, semua calon PRU-15 lalu turut bertanding atas tiket parti gabungan, termasuk Perikatan Nasional; Pakatan Harapan (PH); Barisan Nasional (BN); Gerakan Tanah Air (GTA) dan lain-lain, kecuali calon Perikatan Nasional di Kelantan dan Terengganu yang bertanding atas tiket PAS.

Beberapa pakar undang-undang juga berpendapat maksud ‘ahli parti politik’ dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan itu adalah jelas.

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA), Roger Chin dipetik sebagai berkata undang-undang antilompat digubal untuk menghalang seseorang wakil rakyat yang menang atas tiket sebuah parti politik daripada melompat ke parti lain selepas memenangi kerusi.

Pada 2 November 2022 lalu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS serta Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan GRS diwakili enam calon daripada Bersatu, PBS (empat), STAR (dua), Parti Maju Sabah (SAPP – satu), bagi menghadapi PRU-15.

GRS kini antara gabungan yang membentuk kerajaan PH-BN bersama PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan WARISAN.

Terdahulu, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran mengesahkan pihaknya sudah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka membabitkan empat wakil rakyat Bersatu itu.

Katanya, permohonan sudah dibuat kepada Speaker Dewan Rakyat supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember lalu, Ronald juga mendedahkan bukti ‘surat’ bagi mengesahkan empat MP Sabah yang kini menyokong kerajaan adalah ahli parti Bersatu dan sepatutnya mereka mengosongkan kerusi tersebut serta-merta kerana sudah melanggar akta lompat parti yang dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu.

“Walaupun kita menggunakan yang logo berbeza pada pilihan raya yang lalu, Tuan Yang Dipertua saya ingin dengan izin membaca sekeping surat yang ditulis oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia beralamat di Alam Mesra, Kota Kinabalu Sabah yang ditujukan kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu Malaysia.

“Surat ini ditandatangani Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah bertarikh 3 November 2021 yang lalu,” kata Ronald.

Selain Armizan, mereka yang terlibat ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.

Memetik laporan FMT, Armizan menegaskan pengundi Papar sudah memilihnya untuk menjadi Ahli Parlimen mereka berdasarkan keputusan PRU-15.

“Saya faham kekecewaan dan kemarahan beliau apabila tidak terpilih sebagai calon GRS pada PRU15… hakikatnya, inilah bezanya status kami dengan beliau dalam pilihan raya.

“(Yang pilih saya) bukan seorang hero Malaya baharu di Sabah. Banyak parti bantu saya dalam siri kempen. Selain komponen GRS, saya juga didukung melalui muafakat bersama BN, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), PAS, Parti Cinta Sabah (PCS), dan badan bukan kerajaan (NGO,” katanya.Agendadaily

Thursday, December 29, 2022

Yakin kekal jadi Presiden, Zahid beri isyarat pemilihan UMNO akan diawalkan

 


Pemilihan UMNO bagi memilih barisan kepimpinan parti yang baharu mungkin dijalankan lebih awal sebelum Jun tahun depan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu nampaknya optimis akan dipilih semula dan kekal menjadi ketua parti, tambahan lantikan sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri oleh cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi suntikan semangat baharu kepadanya.

“191 bahagian akan adakan persidangan serentak di seluruh negara dan adakan pemilihan kepimpinan bahagian dan pusat.

“Ertinya, tak perlu tunggu cukup tempoh enam bulan untuk pemilihan parti. Mungin diadakan awal. Kita kena ingat 22 atau 23 Mac sudah Ramadan, Syawal dan bulan haji,” katanya dipetik dalam satu wawancara atas talian malam tadi.

Zahid menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan bila masa yang sesuai bagi pemilihan parti diadakan.

Bagaimanapun, Zahid menjelaskan pemilihan parti tidak diadakan semasa Perhimpunan Agung UMNO tetapi mungkin dibuat serentak dengan persidangan peringkat bahagian parti itu.

Ujar Zahid lagi, perwakilan UMNO akan memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti nanti.

Walaupun Perhimpunan Agung UMNO 2017 telah memutuskan dua jawatan tertinggi tidak perlu dipertandingkan, namun Zahid berkata pada 2018, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) memutuskan semua jawatan boleh dipertandingkan.

“Jadi, saya sebagai seorang demokrat serahkan kepada perwakilan untuk tentukan,” katanya menjawab gesaan anggota parti itu supaya kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata parti belum membuat keputusan sama ada kedua-dua jawatan itu akan dipertandingkan atau tidak.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ditunda kepada 11 hingga 14 Januari depan.agendadaily

Isu ayam: Anwar dicadang ganti Rafizi dengan pemimpin lebih kompeten

 


Rafizi Ramli dilihat tidak berkemampuan dan layak memegang portfolio sebagai Menteri Ekonomi kerana harga ayam pun gagal diselesaikan dengan baik, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mencadangkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang untuk menggantikan Timbalan Presiden PKR itu dengan meletak individu yang lebih layak dan mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal.

“Johari (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga nak buat sesiapa ‘terduduk’ semata-mata sebab dendam politik,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook.

Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu itu turut membidas Rafizi yang disifatkannya tidak matang dan angkuh apabila masih mempunyai dendam politik terhadap parti lawan.

“Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) memegang kuasa, kita prihatin menjaga kebajikan semua rakyat dan kita langsung tak pernah terniat supaya PH ‘terduduk’.

“Tak kira PN atau PH (Pakatan Harapan), semua kita bantu. Itulah beza kerajaan PN yang adil dan PH-BN (Barisan Nasional) yang angkuh dan tidak kompeten.

“Sifat angkuh PH-BN inilah yang menyebabkan mereka sentiasa salah target (sasaran). Target sebenar sepatutnya menghasilkan idea bantu rakyat. Tapi disebabkan angkuh, target PH-BN masih lagi nak balas dendam jika ada orang kritik mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, Rafizi  dalam ciapan di Twitter awal minggu ini berkata pemimpin PN akan “terduduk” selepas dijelaskan mengenai mekanisme kawalan harga.

Wan Saiful seterusnya membidas kerajaan yang disifatkannya mengamalkan “politik balas dendam” terhadap pengkritik.

“Sepatutnya pada masa ini, lihatlah bagaimana nak mulakan supply-side reform supaya kita ada penyelesaian jangka panjang berkaitan harga barang.

“Dasar berkaitan insentif, percukaian, subsidi, peraturan eksport, semuanya adalah perkara yang boleh kerajaan gunakan untuk bantu rakyat,” katanya.agendadaily

Wednesday, December 28, 2022

Tiada lagi penentangan: Hisham akhirnya terima kerajaan PH-BN

 


Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang sebelum ini rela dipecat daripada UMNO kerana membantah keras kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, akhirnya menerima hakikat dan lumrah politik.

Bendahari Barisan Nasional (BN) itu sebelum ini dikatakan antara 10 ahli Parlimen yang menandatangani akaun berkanun (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Dua hari selepas keputusan PRU-15 diketahui selain desas-desus BN akan bekerjasama dengan PH, Hishammuddin dengan tegas menolak kerjasama itu dan beliau mempersilakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecatnya kerana menentang pakatan itu.

“Seperti saya tegaskan sebelum ini lagi, (saya) tetap menolak kerjasama dengan PH. Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

“No Anwar, No DAP. Pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya.

Bagaimanapun dalam kenyataan terbaharu di akaun TikToknya semalam, Hishammuddin akhirnya menerima keputusan dibuat UMNO untuk bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kawan-kawan, saya selalu juga baca komen-komen di akaun media sosial saya. Ada sekali dua saya terbaca orang tanya tentang kewajaran kerajaan dan prestasi setakat ini.

“Bukan nak mengelak soalan ini. Tetapi kita perlu terima hakikat bahawa keputusan telah pun dibuat dan kerajaan pun telah dibentuk,” katanya.

Mengenai prestasi kerajaan PH-BN sekarang ini, termasuk Jemaah Menteri baharu, beliau berpendapat peluang wajar diberikan kepada mereka untuk membuktikan khidmat kepada rakyat.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk kita nilai dan komen. Mereka pun baru seminggu dua masuk kementerian masing-masing. Jadi berilah mereka sedikit masa.

“Secara peribadi saya sesungguhnya mengucapkan selamat maju jaya dan doakan perjalanan mereka dipermudahkan dan urusan rakan-rakan dalam Kabinet dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.agendadaily

Profesor ekonomi terus sekolahkan Rafizi isu ‘kurangkan makan ayam’

 


Ahli ekonomi terus mempersoalkan syor dibuat Menteri Ekonomi kerajaan PH-BN, Rafizi Ramli berhubung peranan pengguna untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal.

Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali dalam kenyataan hari ini turut membantu menyediakan deraf baharu kenyataan media kepada Rafizi supaya pengguna tidak membeli ayam bagi menurunkan harga.

Menurutnya secara ringkas, hipotesis Rafizi ialah dengan keanjalan permintaan yang lebih tinggi, kenaikan harga akan mendorong kepada pengurangan permintaan dan tindakan ini akan menyebabkan penurunan harga berlaku atau setidaknya meredakan kenaikan harga makanan.

Setidaknya, kata beliau ada dua persoalan perlu dijelaskan iaitu permintaan apa? dan permintaan siapa?

Katanya Rafizi jelas merujuk kepada pemintaan untuk makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang sebanyak 29.5 peratus dalam raga penggunaan yang digunakan untuk pengiraan Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Jumlah ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu makanan di rumah (16.9%), makanan di luar rumah (11.5%) dan minuman (1.1%). Berdasarkan laporan terkini yang diumumkan, sebanyak 671 (80%) daripada 841 items yang dipantau telah mencatat kenaikan harga.

“Kadar inflasi untuk makanan di rumah mencecah 7.3% dan kadar inflasi makan di luar rumah meningkat lebih tinggi pada kadar 9.6%, berbanding kadar inflasi keseluruhan yang merangkumi semua kategori perbelanjaan iaitu 4%,” katanya lagi.

Prof Dr Noor Azlan menjelaskan dengan ‘andaian’ semuanya kekal sama, penurunan dalam permintaan yang berpunca daripada kenaikan harga (tertakluk kepada keanjalan) akan menyebabkan harga yang lebih rendah dan jumlah permintaan yang dapat dipenuhi juga akan menjadi lebih rendah.

“Ini membawa kepada persoalan kedua, permintaan siapa? Siapakah yang akan menanggung beban mengurangkan permintaan ini? Siapakah yang perlu mengorbankan permintaan sedia ada? Si Kaya atau Si Miskin?

“Ramai yang hilang punca, keluar dari ehwal ekonomi negara, terus berpolitik pula,” katanya sambil menjelaskan bahawa saranan Rafizi itu mencetuskan polemik.

Pada 23 Disember, Rafizi dilaporkan berkata biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal.

“Kalau harga ayam tu dah mahal sangat kita sepatutnya kurangkan makan ayam,” katanya.agendadaily


Tuesday, December 27, 2022

Perghh !!!! Tikus makan ayam goreng: Lesen premis batal serta-merta

 

Tikus makan ayam goreng: Lesen premis batal serta-merta


Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membatalkan lesen premis makanan yang tular dengan kejadian seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan, berkuat kuasa serta-merta.

Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya bertindak mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) ke atas premis itu selain menegaskan tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dilakukan sekiranya premis berkenaan masih beroperasi setelah notis dikeluarkan.

Katanya, pihaknya hanya akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu jika semua syarat terutama berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.

“NPPL yang berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan ke atas premis makanan tersebut selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada 24 Disember lalu ke atas premis berkenaan.

“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.

“MPAJ mengambil berat isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, Mohd Fauzi berkata pihaknya mendapati penarafan kebersihan di premis terbabit adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru pada Januari lalu.

Bagi memastikan tahap kebersihan di premis makanan sentiasa terjamin, beliau berkata MPAJ sentiasa melakukan pemantauan kawalan kebersihan bagi memastikan syarat dan peraturan ditetapkan pihaknya sentiasa dipatuhi.

“Sehingga 30 November lalu, sebanyak 1,057 premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) 9(f) Pengenalan Makanan MPAJ 2007 dan UKK 19(1)(d) Establisymen Makanan MPAJ 2007.

“Justeru, orang ramai juga boleh melaporkan aduan berkenaan kebersihan premis di kawasan MAPJ melalui http://aduan.mpaj.gov.my,” katanya.

Jangan sekat Islam disebar kerana berbeza fahaman politik: Muhyiddin

 

Jangan sekat Islam disebar kerana berbeza fahaman politik: Muhyiddin


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PH-BN) yang baharu beberapa hari memerintah diharap tidak menyekat atau mengekang penyebaran dan pengajaran agama Islam di negara ini semata-mata disebabkan perbezaan fahaman politik.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa pihak berkuasa berkaitan tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid, semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah

“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

“Pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini (26 Disember 2022).

Beliau berkata demikian susulan tindakan pihak berkaitan yang melarang penceramah agama, khususnya yang mengkritik kerajaan PH-BN, diharamkan daripada mengajar agama Islam sama ada di masjid atau melalui televisyen.

Difahamkan, kerajaan baharu Malaysia bertindak demikian susulan pengaruh kuat pendakwah berkenaan sehingga PH dan BN menghadapi masalah ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan bekas Perdana Menteri juga berharap pihak pengurusan masjid dibenarkan menguruskan masjid mereka sendiri.

“Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang lalu.

“Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik. Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” katanya.

Monday, December 26, 2022

Puad Zarkashi pemimpin ‘tua’ panas baran wajar diganti, kata Tun Faisal

 

Puad Zarkashi pemimpin ‘tua’ panas baran wajar diganti, kata Tun Faisal

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengkategorikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Puad Zarkashi sebagai pemimpin ‘tua’ panas baran dan pembodek, yang tidak relevan lagi dan wajar diganti.

Menurutnya Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu masih tidak sedar diri terhadap petunjuk yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang menolak UMNO bahagian itu.

Mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan Puad sebelum ini, Tun Faisal berkata Puad berasa rakyat dan pengundi suka dengan tindakan membodek Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Berdasarkan keputusan PRU-15, di Batu Pahat, BN bukan pilihan kedua pengundi, tapi pilihan ketiga. Tu pun Puad Zarkashi masih tak sedar-sedar diri lagi… masih lagi nak membodek Zahid. Dia ingat rakyat dan pengundi suka kot?

“Sebenarnya, Puad ini adalah dalam kategori Ketua UMNO Bahagian yang sudah tidak relevan lagi dan wajar digantikan,” kata Tun Faisal dalam kenyataan hari ini (25 Disember 2022).

Katanya lagi, pemimpin seperti Puad – yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO lantikan – sudah tidak relevan lagi dan wajar diganti dengan pemimpin muda di Batu Pahat, demi kelangsungan UMNO.

Menurutnya penolakan terhadap Puad terbukti apabila dalam PRU-15 lalu calon UMNO yang mewakili Barisan Nasional mendapat undi ketiga tertinggi selepas Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

“Seingat saya, Batu Pahat tidak ketandusan pemimpin. Takkan lah tak ada pemimpin Batu Pahat yang lebih muda, yang bukan jenis pembodek, yang bukan jenis panas baran yang tak boleh menggantikan Puad di Bahagian Batu Pahat.

“Semangat Selempang Merah mesti menerajui pembaharuan di Batu Pahat,” kata Tun Faisal lagi.Agendadaily

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung