Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PH-BN) yang baharu beberapa hari memerintah diharap tidak menyekat atau mengekang penyebaran dan pengajaran agama Islam di negara ini semata-mata disebabkan perbezaan fahaman politik.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa pihak berkuasa berkaitan tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid, semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah

“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

“Pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini (26 Disember 2022).

Beliau berkata demikian susulan tindakan pihak berkaitan yang melarang penceramah agama, khususnya yang mengkritik kerajaan PH-BN, diharamkan daripada mengajar agama Islam sama ada di masjid atau melalui televisyen.

Difahamkan, kerajaan baharu Malaysia bertindak demikian susulan pengaruh kuat pendakwah berkenaan sehingga PH dan BN menghadapi masalah ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan bekas Perdana Menteri juga berharap pihak pengurusan masjid dibenarkan menguruskan masjid mereka sendiri.

“Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada Perikatan Nasional dalam PRU-15 yang lalu.

“Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik. Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” katanya.