SUNGAI PETANI - Satu janin tanpa kepala ditemui orang awam berdekatan sebuah kilang di Bakar Arang, Sungai Petani dalam kejadian Ahad lebih kurang 4.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, janin dipercayai berjantina perempuan itu dijumpai di hadapan pintu pagar sebuah kilang sambil dikelilingi anjing liar.
Menurutnya, pada jam 4.55 pagi, anggota bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menerima panggilan kecemasan MERS 999 mengenai penemuan berkenaan.
Advertisement
"Hasil temu bual bersama orang awam yang mengatakan menjumpai mayat tersebut telah dikelilingi anjing sebelum menyedari terdapat mayat terbabit," katanya.
Hasil laporan bedah siasat mengatakan punca kematian adalah "unascertained" dan dipercayai janin berusia 35 minggu dan telah mati lebih kurang satu ke dua hari lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.