Apakah fungsi Timbalan Perdana Menteri (TPM) lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong? Soal bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini (30 Disember 2022).

Beliau memetik Artikel 33A Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.

“Saya membelek Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya dapati perbezaan dalam peruntukan di bawah Artikel 33A. Bacaannya seperti berikut: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.

“Jelas sekali bahawa dengan hanya didakwa dengan kesalahan sudah dianggap serius hinggakan individu seperti YDP Agong terhenti fungsi-fungsi sebagai YDP Agong.

“Ia tidak menyebut perlu didapati bersalah terdahulu maka fungsi Baginda terhenti. Dengan hanya didakwa sudah jelas bahawa perlembagaan menetapkan terhentinya fungsi Baginda,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Tanpa menyebut sesiapa, Dr Mahathir dipercayai merujuk sindirannya kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai TPM, tetapi masih berhadapan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Sekarang bagaimana pula dengan jawatan yang lebih rendah seperti Timbalan Perdana Menteri. Dia sudah didakwa dengan 40 pertuduhan. Namun dia masih dilantik sebagai TPM dan masih menjawat jawatan itu.

“Apakah fungsi TPM lebih tinggi hinggakan dia dilayan lebih tinggi berbanding YDP Agong? Ada keperluan bagi Reformasi di sini, pada fikiran saya.

“Takpalah, saya akan jaga cucu sekarang. Lupakan saja perkara ini,” sindir beliau lagi.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Zahid, didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Semalam pula, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid berhubung kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti, pada 23 September lalu.

Media melaporkan petisyen itu menyenaraikan 15 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu membatalkan pembebasan Zahid dan mengarahkannya untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem VLN dan pusat sehenti di China.