Rafizi Ramli menyifatkan kritikan dan kecaman pihak lawan terhadap dirinya tidak akan memberi sebarang kesan, malah enggan melayaninya.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu membalas kritikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadapnya yang dilihat tidak kompeten dan angkuh dalam menguruskan isu kenaikan harga barang dihadapi rakyat ketika ini.

“Kenyataan begitu yang sedikit pun tidak memberi kesan kepada saya. 

“Orang politik yang tidak berhati-hati terutama mereka yang sebelum ini ada peluang untuk melakukan sesuatu tetapi dilihat gagal, lalu ghairah sangat untuk menghukum dengan terlalu cepat, mereka ini yang akan berdepan dengan pandangan rakyat,” katanya dipetik laporan BH.

Wan Saiful sebelum ini mendakwa Rafizi bersikap angkuh dan tidak kompeten, susulan kenyataannya terhadap Perikatan Nasional (PN), yang dikatakan didorong dendam politik.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan Rafizi sebelum ini, bahawa dalam tempoh sebulan lagi, pemimpin dan penyokong PN yang mempertikaikan saranannya, termasuk supaya pengguna tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal, akan terduduk.

Jelas lagi, keutamaannya adalah komen daripada penduduk kawasan Parlimen diwakilinya, Pandan dan bukan hanya mahu menjawab komen politik daripada Wan Saiful.

“Cuma contohnya kalau komen dari penduduk di Parlimen Pandan, berbanding komen dari Wan Saiful Wan Jan, saya lebih beri perhatian kepada komen penduduk di Pandan. Kerana Wan Saiful Wan Jan ini dia pernah ada dalam kerajaan selama lima tahun.

“Dia juga menjaga PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) selama lima tahun. Dia juga menjadi sebahagian orang kanan mantan Perdana Menteri ke lapan dahulu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Wan Saiful sebelum ini menjadi sasaran kritikan banyak pihak susulan kenyataannya menggesa orang ramai tidak membeli ayam sekiranya harga ayam mahal di pasaran.