Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Dalam satu kenyataan hari ini (29 Disember 2022) SPRM berkata siasatan dilakukan untuk menentukan sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

“Setakat ini, SPRM telah memanggil tiga saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

“Sehubungan itu, SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini,” kata SPRM.

Sementara itu, Telekom Malaysia Bhd (TM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan Menara KL dimiliki oleh kerajaan Malaysia, manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu diberikan di bawah konsesi.

TM berkata, melalui anak syarikat milik penuhnya MKLSB, telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM ingin menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan terasnya iaitu telekomunikasi dan teknologi.

Oleh itu, selepas pertimbangan sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan menara daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM memutuskan pada Oktober 2021 untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL dan memaklumkan kepada kerajaan mengenau keputusan itu.

Menurut laporan Bernama, pada 2022, proses pemilihan bagi pemegang konsesi baharu telah diambil oleh kerajaan. TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik untuk mengambil alih saham MKLSB dan konsesi Menara KL.

MKLSB akan terus mengendalikan konsesi dan memastikan menara itu terus menarik pengunjung.

Pekerja akan diambil bekerja dengan MKLSB di bawah syarikat konsesi baharu selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melindungi kebajikan mereka semasa peralihan ini.

Kenyataan itu juga mengatakan bahawa rujukan dibuat dalam perubahan kepada pegangan saham MKLSB dalam pengumuman kewangan suku ketiga TM kepada Bursa Malaysia.