Pemilihan UMNO bagi memilih barisan kepimpinan parti yang baharu mungkin dijalankan lebih awal sebelum Jun tahun depan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu nampaknya optimis akan dipilih semula dan kekal menjadi ketua parti, tambahan lantikan sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri oleh cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi suntikan semangat baharu kepadanya.

“191 bahagian akan adakan persidangan serentak di seluruh negara dan adakan pemilihan kepimpinan bahagian dan pusat.

“Ertinya, tak perlu tunggu cukup tempoh enam bulan untuk pemilihan parti. Mungin diadakan awal. Kita kena ingat 22 atau 23 Mac sudah Ramadan, Syawal dan bulan haji,” katanya dipetik dalam satu wawancara atas talian malam tadi.

Zahid menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan bila masa yang sesuai bagi pemilihan parti diadakan.

Bagaimanapun, Zahid menjelaskan pemilihan parti tidak diadakan semasa Perhimpunan Agung UMNO tetapi mungkin dibuat serentak dengan persidangan peringkat bahagian parti itu.

Ujar Zahid lagi, perwakilan UMNO akan memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti nanti.

Walaupun Perhimpunan Agung UMNO 2017 telah memutuskan dua jawatan tertinggi tidak perlu dipertandingkan, namun Zahid berkata pada 2018, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) memutuskan semua jawatan boleh dipertandingkan.

“Jadi, saya sebagai seorang demokrat serahkan kepada perwakilan untuk tentukan,” katanya menjawab gesaan anggota parti itu supaya kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata parti belum membuat keputusan sama ada kedua-dua jawatan itu akan dipertandingkan atau tidak.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ditunda kepada 11 hingga 14 Januari depan.agendadaily