Ahli ekonomi terus mempersoalkan syor dibuat Menteri Ekonomi kerajaan PH-BN, Rafizi Ramli berhubung peranan pengguna untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal.

Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali dalam kenyataan hari ini turut membantu menyediakan deraf baharu kenyataan media kepada Rafizi supaya pengguna tidak membeli ayam bagi menurunkan harga.

Menurutnya secara ringkas, hipotesis Rafizi ialah dengan keanjalan permintaan yang lebih tinggi, kenaikan harga akan mendorong kepada pengurangan permintaan dan tindakan ini akan menyebabkan penurunan harga berlaku atau setidaknya meredakan kenaikan harga makanan.

Setidaknya, kata beliau ada dua persoalan perlu dijelaskan iaitu permintaan apa? dan permintaan siapa?

Katanya Rafizi jelas merujuk kepada pemintaan untuk makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang sebanyak 29.5 peratus dalam raga penggunaan yang digunakan untuk pengiraan Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Jumlah ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu makanan di rumah (16.9%), makanan di luar rumah (11.5%) dan minuman (1.1%). Berdasarkan laporan terkini yang diumumkan, sebanyak 671 (80%) daripada 841 items yang dipantau telah mencatat kenaikan harga.

“Kadar inflasi untuk makanan di rumah mencecah 7.3% dan kadar inflasi makan di luar rumah meningkat lebih tinggi pada kadar 9.6%, berbanding kadar inflasi keseluruhan yang merangkumi semua kategori perbelanjaan iaitu 4%,” katanya lagi.

Prof Dr Noor Azlan menjelaskan dengan ‘andaian’ semuanya kekal sama, penurunan dalam permintaan yang berpunca daripada kenaikan harga (tertakluk kepada keanjalan) akan menyebabkan harga yang lebih rendah dan jumlah permintaan yang dapat dipenuhi juga akan menjadi lebih rendah.

“Ini membawa kepada persoalan kedua, permintaan siapa? Siapakah yang akan menanggung beban mengurangkan permintaan ini? Siapakah yang perlu mengorbankan permintaan sedia ada? Si Kaya atau Si Miskin?

“Ramai yang hilang punca, keluar dari ehwal ekonomi negara, terus berpolitik pula,” katanya sambil menjelaskan bahawa saranan Rafizi itu mencetuskan polemik.

Pada 23 Disember, Rafizi dilaporkan berkata biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal.

“Kalau harga ayam tu dah mahal sangat kita sepatutnya kurangkan makan ayam,” katanya.agendadaily