MACAM kisah 'perigi cari timba', tapi tindakan seorang pemuda di laman sosial baru-baru ini sebenarnya bukan biasa-biasa kerana dia sendiri mencari majikan berpotensi untuk melamar dirinya.
Menerusi perkongsian di rangkaian komuniti profesional, LinkedIn, dia memuat naik gambar kerusi kosong dengan buku dan fail berserta pen di atas meja.
“Hi. I am looking for an interviewer to fill this seat. (Hai. Saya mencari seorang penemuduga untuk mengisi kerusi ini),” kata Azmil Hakim dengan keterangan latar belakang dan pengalamannya di LinkedIn, sehingga menjadi tular.
Setakat ini, perkongsian kreatif di LinkedIn milik Azmil itu dilihat (view) lebih 2.6 juta kali dan mendapat lebih 15,000 tanda suka (like).
Posting Azmil mencari penemuduga di LinkedIn tular di media sosial.
Azmil, pemuda berusia 28 tahun berkata, dia menerima banyak maklum balas daripada pelbagai syarikat yang memintanya menghantar resume kepada mereka.
“Pada awalnya, saya mendapat maklum balas daripada beberapa syarikat luar negara yang meminta saya menghantar resume kepada mereka. Antaranya dari India, Pakistan dan Singapura.
“Selepas ia menjadi tular, lebih banyak syarikat dalam negara turut meminta saya hantar resume. Saya benar-benar terkejut dengan sambutan yang tidak disangka-sangka ini,” katanya kepada mStar Online.
Setakat ini, perkongsian Azmil di LinkedIn dilihat lebih 2.6 juta kali.
Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini memberitahu, setakat ini dia telah menemui 14 'penemuduga' daripada syarikat pelbagai industri.
Menurutnya, salah satu daripadanya adalah sesi temuduga yang dijalankan dengan sebuah syarikat teknologi berpangkalan di India menerusi aplikasi Skype.
Namun di sebalik sambutan itu, Azmil yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini berkongsi kisah di sebalik misi cari kerjanya.
Perkongsian di LinkedIn mendapat perhatian beberapa syarikat besar.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini, ketika itu dia baru menghadiri satu sesi temuduga dengan sebuah syarikat dan idea timbul dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Masa tu saya tunggang motor balik ke rumah. Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba masa atas motor tu keluar idea apa yang saya patut lakukan untuk mencari kerja.
“Biasanya idea saya memang keluar masa atas motor. Ini bukan kali pertama, sebelum ini macam-macam idea, termasuk berkaitan dengan bisnes dan pelajaran,” ujar Azmil yang pernah terlibat dalam perniagaan pakaian ‘bundle’.
Bekas kakitangan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini telah dibubarkan ini memberitahu, dia bergelar penganggur sejak Januari lalu, tetapi melakukan kerja sambilan membuat perkhidmatan penghantaran makanan.
Idea kreatif Azmil mencari pekerjaan dipuji ramai.
Azmil berkata, dia mahu membuktikan dirinya benar-benar serius mencari pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup, terutama selepas berkahwin sejak dua tahun lalu.
“Kalau dulu seorang majikan temuduga 10 calon untuk mencari seorang pekerja, dan sekarang sudah berubah di mana kita perlu lebih berusaha mencari 10 bakal majikan untuk kita ditemuduga sebagai calon dan seterusnya diambil bekerja,” katanya.
Sehingga kini, Azmil masih mencari peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman khususnya dalam bidang sumber manusia, operasi dan perhubungan awam kerajaan.
“Apa saja panggilan temuduga, saya tetap pergi. Mungkin saya rasa tak sesuai, tapi mereka lebih tahu apa kelayakan saya. Saya berharap agar mendapat pekerjaan yang bersesuaian tidak lama lagi. Doakan saya,” katanya yang boleh dihubungi menerusi
LinkedIn atau emel mikahlimza@gmail.com