Saya tak tahu dia nak ajak tidur
KUALA TERENGGANU - “Saya tidak tahu dia nak ajak tidur sini, sebab dia
janji nak hantar balik rumah,” demikian alasan diberikan seorang pelajar
tingkatan tiga selepas ditangkap berkhalwat bersama teman lelakinya
yang berusia 17 tahun di sebuah bilik hotel murah, di bandar Besut,
Khamis lalu.
Calon ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) itu ditahan selepas
bilik hotel yang disewa bersama teman lelakinya yang juga merupakan
calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diserbu sepasukan penguat kuasa
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kira-kira jam 11.30 malam.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata,
serbuan dilakukan hasil maklumat awam memberitahu menjadi satu
kelaziman pasangan remaja menyewa bilik-bilik hotel murah di sekitar
bandar Besut terutama pada malam minggu.
Katanya, siasatan mendapati pelajar perempuan itu sebelum ini dijemput
oleh teman lelakinya dari asrama sebelum sama-sama merancang untuk
menyewa bilik di hotel terbabit sehingga Sabtu.
“Gadis itu memberitahu kekasihnya yang juga bersekolah di sekolah
berhampiran sentiasa menjemputnya balik dari asrama setiap kali ibunya
tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa ke Kuala Lumpur.
“Malah, petang tadi (hari kejadian), dia mendakwa teman lelakinya
terpaksa mengambilnya di asrama kerana ibunya tiada dan pergi ke Kuala
Lumpur kerana ada urusan kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya lagi, remaja itu mengakui menjalin hubungan cinta dengan
kekasihnya sejak November tahun lalu selepas berkenalan di gerai kuih
ibunya, bagaimanapun mendakwa langsung tidak menyangka teman lelakinya
itu berani mengajak tidur di bilik hotel terbabit.
“Malah dia mendakwa lelaki itu memang tidak pernah sesekali memaklumkan
kepadanya berkaitan perancangan bermalam di situ kerana sebelum ini,
teman lelakinya berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah.
“Dalam masa sama, gadis itu mengakui memang sebelum ini teman lelakinya
pernah menemaninya bermalam di rumah ketika ibunya tiada di rumah,”
katanya.
Wan Mohd berkata, kedua-dua remaja itu di bawa ke Pejabat Agama daerah
Besut untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jaminan hadir
ke mahkamah.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana berkhalwat