Simpan telefon bawah bantal
Penduduk Kampung Kolam, Chetok terpaksa keluar dari rumah untuk mendapatkan talian telefon setiap
kali mahu menghubungi ahli keluarganya.
PASIR MAS - Lebih 500 penduduk di Kampung Kolam, Chetok dekat sini,
terpaksa menyimpan telefon pintar mereka berharga ratusan ringgit di
bawah bantal gara-gara masalah liputan rangkaian selular di kawasan
berkenaan berada pada tahap lemah.
Masalah tersebut berlarutan sejak bertahun-tahun lalu memaksa penduduk
terpaksa keluar dari rumah dan ke kampung sebelah untuk mencari liputan
talian bagi memudahkan perhubungan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan
(JKKKP) Mukim Bujuk, Muhammad Che Man berkata, masalah tersebut sudah
diajukan kepada pihak berkenaan, namun tiada sebarang maklum balas
diberikan.
“Sudah masuk tiga kali, penduduk kampung mengemukakan permohonan untuk
mendapatkan sebuah pencawang, namun sehingga ini masih belum membuahkan
hasil.
“Setiap aduan yang dibuat dipandang sepi oleh pihak berkenaan.
“Keadaan itu membuatkan kami berdepan dengan masalah yang cukup besar untuk berhubung antara satu sama lain.
“Lebih-lebih lagi ketika berlakunya kecemasan dan itulah keperitan yang terpaksa diharungi kami,” katanya.
Menurutnya, beliau berharap pihak berkenaan dapat memberikan jawapan segera terhadap permohonan yang dikemukakan sebelum ini.
Katanya, dalam permohonan tersebut penduduk kampung sudah mengemukakan
kawasan untuk dijadikan sebagai tapak pembinaan pencawang itu.
“Tapak yang kami sediakan ini lebih tinggi dan bebas dari kawasan banjir,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Che Mansor Che Mahmood, 54, berkata, setiap kali
anaknya pulang ke kampung menaiki kenderaan awam, dia terpaksa keluar
awal pagi untuk mengambilnya.
Katanya, dia terpaksa berbuat demikian kerana berdepan kesukaran untuk menghubungi anaknya itu.
“Untuk elak berdepan masalah, saya ambil keputusan keluar awal.
“Hanya itu saja pilihan yang saya ada dan situasi itu terus berulang
sehingga hari ini daripada anak-anak belajar universiti sehinggalah
bekerja dan ada keluarga,” katanya.
Ibrahim Namad, 57, pula berkata, dia sudah tidak tahan untuk berdepan dengan situasi berkenaan.
“Tiada ada gunanya kami ada telefon mahal jika rangkaian lemah di kawasan ini.
“Paling sedih bila kemudahan WhatsApp dan Facebook langsung tak boleh digunakan sedangkan itu cara kami berhubung,” katanya
Menurutnya, setiap kali hari raya dan cuti sekolah anak-anak cucu
mereka terpaksa berdepan dengan banyak masalah apabila pulang ke kampung
kerana ketiadaan liputan rangkaian selular di kawasan ini.
Katanya, pada zaman serba moden sekarang dengan masalah yang dihadapi menyebabkan penduduk di sini seperti terpinggir.