JAIS
AMPANG, 27 Julai — Sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini bertindak memecahkan pintu pagar sebuah rumah yang dikatakan ada kegiatan maksiat, sedangkan tidak ada apa yang berlaku di rumah tersebut.
Kejadian itu berlaku di Pandan Terrace Apartment, pada sekitar 2.30 pagi ketika penghuni rumah tersebut sedang bersahur.
“Pada mulanya saya ingatkan ada orang cuba pecah rumah saya, dan bila saya buka pintu, kelihatan hampir sepuluh orang di hadapan pintu rumah saya.
“Salah seorang dari mereka menunjukkan kad kuasa mereka, dan yang lain bertindak menggunakan tukul untuk memecah masuk rumah saya.
“Pegawai itu kemudian memberi amaran untuk bekerjasama atau kekasaran akan dilakukan.
“Mereka mengatakan mereka mendapat aduan bahawa ada kejadian maksiat di rumah saya, padahal tidak ada pun,” kata mangsa yang dikenali sebagai Razman, berusia sekitar 20an.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Perdana atas tindakan kasar dan biadap pegawai-pegawai JAIS tersebut.
“Mereka langsung tidak memohon maaf atas kesilapan mereka, bahkan mereka mengherdik kami kerana enggan bekerjasama.
“Sepatutnya mereka selaku pegawai jabatan agama Islam, harus bertindak dengan cara baik, menunjukkan waran geledah dan bukannya bertindak memecahkan rumah orang begitu sahaja,” kata Razman.
Menurut Razman, polis yang beliau temui memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci tentang kejadian ini memandangkan bukan pertama kali kejadian seumpama ini berlaku.
“Kami bimbang sekiranya JAIS tidak memantau orang bawahan mereka, takut mereka ini menggunakan kad kuasa mereka untuk memecah masuk rumah orang, kemudian mungkin merompak.
“Kita harap JAIS akan lebih peka dengan pegawai mereka,” kata Razman. Malaysian Insider