Seorang pelajar Kolej Komuniti di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang, yang pertama kali akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, nekad pulang ke kampung halamannya di Kelantan dengan berjalan kaki.

Muhammad Haikal Noor Azmin, 18, mengambil keputusan itu selepas semua tiket bas habis dijual berikutan orang ramai pulang mengundi pada Sabtu ini, menurut laporan HMetro.

Bagaimanapun, pelajar jurusan Sijil Animasi 2D yang sedang membawa beg pakaian itu ditemui pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumah di sekitar Jalan Bertam Indah 2, kira-kira jam 7 malam tadi.

Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Jasni Mohd Yusof berkata, pelajar berkenaan adalah orang kurang upaya (OKU) yang kurang sempurna dari segi pergerakan dan pertuturan.

“Walaupun begitu, dia semangat untuk menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi pada PRU-15 hingga sanggup berjalan kaki.

“Ketika ditemui pelajar itu nampak keletihan. Pihak kolej mengambil inisiatif menghantar pelajar pulang ke kampung halamannya. Ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar itu terjamin,” katanya ketika dihubungi HMetro, hari ini (17 November 2022).

Beliau berkata, pihak kolej menggunakan kenderaan jabatan bagi menghantar pulang Muhammad Haikal, hari ini dan pelajar itu sudah selamat sampai ke kampung halamannya.

Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia terharu dengan bantuan yang dihulurkan pihak pengurusan kolej bagi memastikan dia dapat pulang mengundi.

Menurutnya, bantuan yang diberikan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya, apatah lagi dia adalah anak sulung daripada lima beradik yang kematian bapa sejak berusia 11 tahun.