Kenyataan semberono Rafizi Ramli berhubung pertemuan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu, jelas menunjukkan dia masih bermain dengan politik persepsi walaupun telah menjadi Menteri Ekonomi kerajaan PH-BN.

Jika melihat klip video perbahasan di Dewan Rakyat, Isnin lalu (19 Disember 2022), dapat diperhatikan dengan jelas gaya dan ungkapannya ketika mengulas isu dibangkitkan ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin itu, adalah caranya untuk menarik perhatian.

Meninggikan suara di dalam Dewan Rakyat ketika mengulas sesuatu isu bukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh seorang menteri dalam kerajaan terdahulu.

Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu pun, tiada menteri daripada DAP yang meninggikan suara menjawab isu dibangkitkan Barisan Nasional (BN) yang ketika itu menjadi pembangkang. Rafizi patut belajar lagi daripada ‘isteri baharunya’ UMNO.

Namun, cara ahli Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR ketika mengulas pertemuan Shukri dan Anwar itu, sambil meninggikan suara, dilihat seperti menunjukkan kesombongan dan keterujaannya untuk berucap dalam Parlimen setelah menjadi kerajaan.

Malah, dengan gembiranya dia seolah-olah mengatakan Kerajaan Perlis di bawah pentadbiran Perikatan Nasional – kini menjadi pembangkang di Dewan Rakyat – merayu bantuan Kerajaan Pusat pimpinan PH-BN.

Apa yang Rafizi sebut?:

“Wakil dari kerajaan negeri yang pertama yang datang berjumpa Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) bukan daripada Pakatan (Harapan), bukan daripada Barisan Nasional…

“(Meninggikan suara)… daripada Perikatan Nasional daripada Perlis. Baru jadi ambil alih kerajaan datang berjumpa Menteri Kewangan meminta komitmen supaya dapat bagi bantuan kewangan daripada Pusat…

“Yang pertama sekali datang jumpa untuk minta bantuan kewangan bukan daripada Barisan Nasional… bukan daripada GPS (Gabungan Parti Sarawak)… bukan daripada Perikatan… tapi yang di bawah Perikatan Nasional,” katanya.

Jelas daripada kenyataan itu, Rafizi mahu memalukan dan menunjukkan kepada rakyat, bahawa kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional tanpa rasa segan terpaksa merayu bantuan daripada kerajaan PH-BN.

Sebaliknya, apa yang berlaku sebagaimana penjelasan Shukri ialah Kerajaan Perlis dijemput oleh Anwar sendiri untuk mengadakan pertemuan.

Dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam, Shukri berkata pertemuannya dengan Anwar bagi memenuhi undangan daripada Perdana Menteri setelah Perlis kini ditadbir oleh Perikatan Nasional.

“Apabila saya melihat perbahasan dalam sidang Parlimen semalam, Rafizi ada menyebutkan hal berkenaan dalam perbahasan. Saya rasa kesal kerana ia bagaikan satu penghinaan kepada rakyat Perlis yang memilih PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Saya hadir berjumpa Perdana Menteri pun dalam suasana mesra dan lebih banyak membincangkan mengenai perkembangan semasa dan pembangunan di Perlis,” kata Shukri.

Beliau turut kesal dengan kenyataan Rafizi yang mempolitikkan pertemuan itu yang memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Perikatan Nasional Perlis sedang ‘meminta sedekah’ daripada Kerajaan Persekutuan.

Malah, Shukri juga kesal kerana Rafizi tidak dapat membezakan antara pentadbiran kerajaan dan parti politik.

Lebih baik Rafizi jadi ‘menteri persepsi’ kerana rakyat bimbang angka-angka ekonomi yang akan diberikannya pada masa depan hanyalah satu persepsinya sahaja.

Ketua Pengarang
Agenda Daily