MP PKR sekali lagi karang puisi bidas ‘menteri semacam suara pak polisi’
Kritikan terhadap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang dilihat seakan tidak menghormati hak rakyat dan terlalu takut untuk mengambil langkah mereformasi institusi dibidas seorang Ahli Parlimen (MP) PKR Pasir Gudang.
Hassan Karim sekali lagi mengarang satu puisi yang membidas kerajaan baharu PH-BN kerana mempertahankan undang-undang kontroversi yang membenarkan polis menahan suspek hampir sebulan.
Hassan berkata, mereka yang satu ketika dahulu mengatakan Sosma sebagai “draconian”, kini dibutakan oleh kekuasaan.
“Masa itu kita hanya reformis jalanan. Yang bergelandangan.
“Kini sudah lain; dunia sudah berubah, kita sudah di tampuk kuasa,” katanya dalam sebuah puisi yang dimuat naik di Facebook.
“Kita mula bercakap. Tahanan tanpa bicara hampir sebulan pun tidak mengapa. Demi keselamatan negara.”
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri yang kalah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengeluarkan kenyataan mempertahankan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), berbeza dengan protes yang pernah diketuai pemimpin gabungan itu.
Saifuddin menjadi sasaran serangan kumpulan hak asasi dan sekurang-kurangnya dua ahli politik PH sendiri selepas beliau berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula Sosma.
Beliau menegaskan Sosma tidak sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengatakan ia membenarkan seseorang ditahan selama “hanya 28 hari” selain turut berkata penahanan dibuat hanya selepas proses “risikan dan bukti yang diperolehi”.
Terdahulu, pemimpin DAP Gobind Singh Deo berkata kenyataan Saifuddin itu bertentangan dengan pendirian PH yang sudah lama mendesak Sosma dimansuhkan, manakala bekas Ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah, yang pernah ditahan di bawah undang-undang yang sama, mengingatkan Saifuddin bahawa akta itu digunakan terhadap lawan politik walaupun ia didakwa dibuat bagi memerangi keganasan.
Dalam pada itu, Hassan dalam catatannya turut berkata bahawa Saifuddin berbunyi seakan seorang polis.
“Lalu, aku yang berpuisi seperti ini. Dianggap menembak kaki sendiri,” katanya.
Awal bulan ini, Hassan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim berpegang pada janji dan prinsipnya selepas pengerusi PH menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) walaupun beliau berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.
“Semalam aku masih terdengar-dengar, kau berkata kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa. Maka, aku pun percaya,” tulisnya.
“Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi.
“Separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini.”
1 comment:
Setakat rasa nak tulis sajak tak buat apa apa untuk bantu
Post a Comment