Walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikritik pemimpin DAP dan PKR, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui masih memerlukan anak muridnya itu jika mahu kekal menjadi Perdana Menteri.
Penganalisis politik berkata, Anwar perlu mempertahankan Presiden UMNO walaupun tidak disukai pemimpin dalam partinya sendiri, ia selepas dua pemimpin daripada DAP dan PKR membidas Zahid secara terbuka baru-baru ini.
“Mereka sedar tindakan UMNO menyokong Anwar adalah penting, dan sekiranya apa-apa terjadi kepada UMNO atau Zahid, parti itu akan menarik sokongannya.
“PH akan menghadapi masalah besar jika ini berlaku,” kata James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania dipetik laporan FMT.
Pemimpin lama DAP, P Ramasamy sebelum ini mengkritik Zahid sebagai duri dalam daging kepada UMNO dan kerajaan perpaduan selagi beliau kekal sebagai Presiden parti itu.
Ia susulan Perhimpunan Agung UMNO yang meluluskan usul untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei.
“Zahid mungkin tidak terjejas buat masa ini, tetapi dia seolah-olah menjadi ‘beban’ kepada UMNO dan sedikit sebanyak kepada Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang lagi, Ahli Parlimen PKR (Pasir Gudang), Hassan Karim juga turut menyifatkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah sekumpulan penjenayah yang terlibat dengan rasuah dan pecah amanah.
Menurutnya dilema dihadapi kerajaan pimpinan Anwar sekarang antara lain ialah sekiranya rakyat yang celik huruf dan berilmu peengetahuan bertanya, bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) terdiri dari sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah?
“TPM1 (Zahid) sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
“BN-UMNO dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan.
“Tiada vaksin untuk menawar racun toksik ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,” kata Hassan.
Kritikan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pemimpin UMNO namun ramai yang mendiamkan diri dan tidak mempertahankan Zahid.
Untuk rekod, Zahid didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018.Credit AD
1 comment:
Hj hadi pun akan peluk cium zahid jika dia bawa umno bergabung dgn PN dan berjaya bentuk kerajaan. Jangan la hipokrit sangat mat oi...
Post a Comment