BANGKOK – Seorang leftenan polis dituduh menyerang pegawai kanan berpangkat kapten di sebuah pusat hiburan di Soi Lat Phrao 22, Bangkok, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Mangsa, Kapten Polis Kiattikhun membuat laporan selepas dia dibelasah pada 12 November lalu.
Menurut laporan saluran berita Channel 7, mangsa ketika kejadian berada di pusat hiburan yang dimiliki oleh saudara lelakinya.
Dia kemudian menyedari bahawa seorang lelaki bernama Bao, memasuki premis tersebut sambil diiringi beberapa rakan termasuk pegawai polis bernama Leftenan Kitti.
Bao dilaporkan pernah mencetuskan beberapa kekecohan di pusat hiburan tersebut sebelum ini.
Ia menyebabkan mangsa mengajak suspek untuk mengawal keadaan agar tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, suspek dikatakan berang lalu mula menyerang mangsa dengan dibantu oleh rakan-rakannya.
Mereka turut merampas pistol milik kapten polis tersebut dan memukulnya pada muka menggunakan senjata yang tidak dinyatakan.
Mangsa turut mendakwa bahawa suspek mengaku dia ialah mafia dan pernah menembak mati ramai individu, namun tidak pernah diberkas.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis, namun suspek tidak mengaku bahawa dia ialah lelaki yang berada di pusat hiburan tersebut.
Bagaimanapun, laporan media mendedahkan bahawa suspek ialah orang yang sama dan dia menukar namanya serta pernah terlibat dalam kes jenayah.
Superintendan Balai Polis Khok Khram enggan mengulas insiden itu, manakala butiran prosiding undang-undang kes itu masih tidak dijelaskan. – AGENSI
1 comment:
Polis pun kena buat laporan polis.
Post a Comment