Keratan muka depan akhbar Sinar Harian edisi Perak hari ini.
BAGAN SERAI - Menjijikkan. Itulah keadaan dalam sebuah kilang memproses serta membungkus produk asam jawa, tepung jagung dan tepung kastard di sini sewaktu diserbu peguatkuasa pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Parit Buntar, pagi kelmarin.
Keadaan dalam premis berkenaan yang agak gelap itu sangat kotor di mana lantainya berair dan berbau busuk, bumbung kilang bocor, peralatan kilang serta rak penyimpanan bahan mentah berkarat.
KPDNKK cawangan Parit Buntar bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kerian bertindak merampas dan menyita produk asam jawa dan tepung jagung bernilai RM14,000 dan mengarah premis itu ditutup serta-merta selama 14 hari bermula kelmarin.
Lebih mengejutkan apabila didapati produk yang dikeluarkan kilang itu disahkan menggunakan logo halal yang tidak mendapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk).
Ketua PPDNKK Cawangan Parit Buntar, Nasir Mohamad berkata, serbuan ke atas kilang itu dilakukan pada jam 11.30 pagi kelmarin bagi pemeriksaan logo halal pada produk keluaran premis berkenaan.
Menurutnya, sewaktu pemeriksaan dijalankan empat anggotanya di kilang itu, mereka terkejut mendapat keadaan persekitaran premis tersebut sangat kotor dan menjijikkan.
“Saya segera memaklumkan perkara itu kepada PKD Kerian dan meminta membuat pemeriksaan segera terhadap kondisi kebersihan kilang tersebut.
“Manakala pemilik kilang yang berusia 62 tahun gagal mengemukakan bukti menunjukkan logo halal yang digunakan mendapat pengesahan Jakim atau Jaipk,” katanya sewaktu ditemui media di pejabatnya di sini, semalam.
Beroperasi lebih 20 tahun
Apabila pemeriksaan dilakukan empat pegawai PKD Kerian, Nasir berkata, kilang yang sudah beroperasi lebih 20 tahun itu didapati mengalami masalah kebersihan yang kritikal dari segenap aspek.
Jelasnya, PKD Kerian turut membuat tindakan susulan dengan mengarahkan premis itu ditutup selama 14 hari bagi membolehkan pemiliknya menjalankan kerja-kerja pembersihan mengikuti spesifikasi ditetapkan jabatan itu.
“Bagi pihak kami pula, tindakan susulan adalah menyita 78 kotak asam jawa, 48 kotak tepung jagung dan 22 guni plastik pembungkusan produk yang dilabelkan atas nama sebuah syarikat tempatan.
“Jumlah keseluruhan hasil rampasan dianggarkan RM14,000 dan kes akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Nasir berkata, pihaknya kini menunggu keputusan ujian sampel produk makanan yang dikeluarkan kilang itu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi memastikan sama ada kualiti produk tercemar disebabkan kondisi kebersihan yang sangat menyedihkan.
Menurutnya, jika disahkan tercemar, KPDNKK tidak teragak-agak untuk mengarahkan kesemua produk keluaran kilang itu ditarik balik daripada pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Berdasarkan siasatan ke atas pemilik kilang, mereka memberi alasan keadaan premis tersebut kotor disebabkan pengurusan dalam proses berpindah ke kilang baharu di Taiping.
“Bagaimanapun, beberapa pekerja kilang memberitahu kami keadaan premis memang kotor sejak dahulu lagi, bahkan ada ketikanya bahan mentah yang dibekalkan dari negara Indonesia dilonggokkan di atas lantai premis begitu sahaja,” katanya.
Nasir turut mendedahkan kilang berkenaan baharu mendapat kelulusan kontrak membekalkan produk asam jawa, tepung jagung dan tepung kastard ke negara Brunei baru-baru ini.
Jelasnya, isu produk kilang berkenaan sebenarnya sudah mendapat perhatian KPDNKK sejak dahulu lagi apabila ada pengguna dari Ampang, Selangor mengemukakan aduan terjumpa puntung rokok di dalam produk asam jawa yang dibeli.
“Apabila siasatan dibuat, kami mendapati logo halal yang diletakkan pada produk berkenaan amat meragukan.
“Saya menasihatkan kepada semua pengguna supaya membeli produk berlogo halal yang disahkan Jakim bagi mengelakkan pembelian produk meragukan dan tidak selamat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
- Kilang jijik ditutup serta-merta
- Tidak kisah kotor asalkan makanan sedap
- Operasi kilang haram proses minyak terbongkar
- Kilang fucuk kotor diarah tutup
- Kilang minyak masak dipecah masuk
- Tangan pemilik kilang ais melecur
- Hidangan lontong ekor cicak
- Kilang terbakar di Padang Jawa
- Dua kritikal, 6 cedera dalam letupan kilang
- Panik gas Ammonia dari kilang bocor
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
1 comment:
Dulu masyuk sekarang tak masyuk
Post a Comment