SHAH ALAM - "Itu hanya ilusi optik," demikian penjelasan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Noordin Ahmad ketika ditanya mengenai kesahihan beberapa keping gambar yang viral di media sosial berkenaan penampakan dua matahari yang kononya berlaku di Amerika Utara.

Beberapa hari lalu, tersebar di WhatsApp, beberapa keping gambar yang menunjukkan seoalah-olah terdapat dua matahari timbul, yang mana ada sesetengah pihak berkata fenomena itu berlaku di Kanada dan ada juga yang mengatakan bahawa ia berlaku di Manhattan dan New York.

Noordin berkata dalam isu ini, ramai pihak yang cuba mengaitkan ia dengan fenomena angkasa dengan aspek fantasi dan misteri, namun ujarnya sebagai manusia yang diberi akal fikiran,  kita perlu mendapatkan bukti yang sahih, dengan cara merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang pakar.

"Ada juga yang ingin meletakkan fenomena sebegini seiring dengan hadith dan tanda kiamat. Ilmu Islam itu menyokong sains jadi fenomena yang berlaku perlu dikaji dengan fakta dan secara menyeluruh dan bukan sekadar agakan pemikiran.

"Dalam pada itu, telah ada banyak fenomena angkasa pelik yang tersebar sebelum ini seperti bumi bergelap, cuaca angkasa yang ganggu telefon bimbit dan matahari makin dekat dengan bumi. Elok masyarakat menghubungi Angkasa agar tidak mudah menyebarkan berita palsu yang boleh membuat negara gelisah," katanya


Klik Sini Untuk Like dan dapatkan Berita  terkini