MOSCOW - RUSIA. Petugas penyiasat nahas pesawat Rusia yang terhempas di Sinai 31 Oktober lalu mengatakan bom diletakkan di bawah kerusi penumpang 31A yang diduduki Maria Ivleva yang berumur 15 tahun.

Menurut laporan Dailymail, selain gadis berkenaan, bom juga mungkin terletak di kerusi 30A di hadapan Maria yang diduduki warga emas, Nadezhda Bashakova, 77.
Petugas penyiasat mengatakan mereka yang duduk di atas kerusi tersebut dan penumpang berhampiran 'maut dalam sekelip mata'.
"Penyiasat dan pakar dari jabatan risikan berjaya mengenalpasti lokasi bom yang diletakkan oleh pengganas dalam pesawat Airbus A321," kata laporan media tempatan di Rusia.
Laporan tersebut mengatakan bom berkenaan mempunyai kekuatan satu kilo bahan letupan TNT.
"Kuasa letupan bergerak ke bahagian depan pesawat sehingga barisan kerusi 27, dan berpatah balik ke belakang pesawat sehingga barisan kerusi 32," kata laporan tersebut.
Dalam kejadian tersebut, pesawat penerbangan Kogalymavia 9268 dari Sharm El-Sheikh, Mesir yang menuju ke St. Petersburg, Rusia terhempas di Sinai, mengorbankan 224 penumpang dan anak kapal.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat komersial Rusia terhempas di Mesir]
Pihak berkuasa Rusia kini bekerjasama dengan kerajaan Mesir dan Britain yang sebelum ini memberikan maklumat yang mencadangkan terdapat bom di atas pesawat malang tersebut.
Rusia juga menawarkan £33 juta (RM211 juta) kepada pemberi maklumat yang membantu merungkai kejadian nahas tersebut
.