KEMAMAN – “Hari ini dunia adalah nyata, akhirat hanya cerita. Tapi setelah mati, dunia hanya cerita akhirat jadi nyata. #SelamatMalamDunia.”
Demikian catatan terakhir Muhammad Safwan Abu Bakar, 18, pada status Facebooknya sebelum dia dan sepupunya, Jailani Jusoh, 26, maut dalam nahas ngeri di Kilometer 282.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT), berdekatan susur keluar Plaza Tol Chukai, di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.15 petang itu, dua sepupu berkenaan mati serta merta di lokasi kejadian apabila mereka tercampak keluar dari lori satu tan yang dinaiki selepas kenderaan itu tiba-tiba terbabas dan melanggar besi pengadang jalan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua sepupu maut di LPT2]


Kemalangan

Ketika kejadian kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai eksekutif jualan di Koperasi Coop2U Berhad Zon Timur dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Manir, Kuala Terengganu setelah menghadiri satu mesyuarat di Kuantan, Pahang.
Sepupu Muhammad Safwan yang juga kakak Jailani, Noor Aida Jusoh, 30, berkata, status yang menyebut tentang kematian itu dimuat naik Muhammad Safwan kira-kira 17 jam sebelum meninggal dunia.

Lebih meruntun hati, katanya, sehari sebelum mengemas kini status di Facebook itu, sepupunya yang dipanggil Alang itu turut memuat naik pesanan akhir pada status aplikasi WeChatnya yang berbunyi ‘Selamat Malam…ALLAH, jaga mak elok-elok. Tolong jagakan ibuku’.