Isterinya, Nashila Sukarno, 27, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan suaminya meninggal dunia dan segera teringat pesanan berkenaan.
"Kami keluar ke Pantai di Bachok bersama-sama anak petang sebelum kemalangan semalam.
"Malam itu, sebelum dia (arwah) pergi ambil tablet yang dibaiki, dia pesan 'kalau saya tidur, tolong gerak saya pagi esok," katanya kepada pemberita semasa lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi di Kampung Chica, Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Arwah yang bekerja sendiri dan menjadi pembantu katering serta pendawaian elektrik meninggalkan seorang anak, Muhammad Qaeliff Amsyar, 3 tahun empat bulan.
Nashila berkata, sebelum mengambil tablet, arwah juga sempat keluar minum bersama kawan-kawannya.
Kata Nashila, sebelum kematian juga, suaminya juga berbual mengenai kematian termasuk kawan-kawannya yang lumpuh setelah kemalangan motosikal besar.
"Dia beli motosikal besar dengan hasil titik peluhnya sendiri setahun lalu yang dikumpul kerana dia minat sangat dengan motosikal itu.


"Memang dia sering keluar dengan motosikal besar itu dan sekali-sekala saya ingatkan dia supaya beringat semasa menunggang" katanya yang bekerja sebagai jururawat di unit jantung Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Lebih terkilan, arwah juga mengingatkan hari ini cukai jalan motosikal berkuasa tingginya akan tamat.
Sementara itu, ibu arwah, Zailah Ibrahim, 53, berkata, sehari sebelum kemalangan, dia melihat anak kelima dari enam anaknya itu kelihatan tampan daripada hari biasa.
"Saya berkata dalam hati, tampan, putih dan  berseri-seri wajah Amy (panggilan manja dalam keluarga) kalau tengok dari belakang, cuma saya tidak tegur (memuji) dia, hanya berkata dalam hati," katanya.