REMBAU - Seorang anak ditemui menggigil ketakutan dan kesedihan apabila ayahnya maut depan mata ketika menemani ayahnya menghantar kotak ke salah sebuah kilang air mineral, di Kampung Mungkal, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa, K Vejayan, 50an, yang bekerja sebagai pemandu lori seperti biasa meneruskan rutin menghantar kotak ke kilang berkenaan dari Semenyih, Selangor.
Menurut pengawal keselamatan kilang berkenaan, Che Onn Abdul Manaf, 60, dia dimaklumkan oleh kakitangan kilang yang baru menghantar barangan terdapat lori terbabit kemalangan di jalan kampung tidak jauh dari kilang berkenaan.
“Saya terus pergi ke lokasi kemalangan selepas diarahkan ketua dan sebaik sampai saya terus memeriksa nadi Vejayan dengan bantuan anggota tentera yang kebetulan turut sama baru selesai habis latihan dari kawasan berdekatan.
“Tiada denyutan nadi dan saya pegang anaknya yang sudah keluar dari lori. Anaknya menggigil serta kelihatan sedih. Bagi mengembalikan keyakinannya saya tanyakan ibunya, perihal sekolahnya dan dia tenang semula,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kemalangan, di sini, petang tadi.
Che Onn berkata, anak tunggal mangsa yang baru berusia lapan tahun itu kerap menemani mangsa pergi bekerja sekiranya dia cuti sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Punca kemalangan dan kematian masih lagi dalam siasatan. Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment