PEMAIN badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menafikan laporan yang mendakwa beliau memiliki aset mencecah RM300 juta.
Menurut Chong Wei, sekiranya memiliki aset sedemikian, beliau tidak lagi perlu mengerah keringat untuk bermain badminton dan hanya perlu duduk di rumah sahaja.
“Jika ada RM300 juta, saya fikir saya sudah berhenti bermain badminton.
"Saya tidak perlu kerja dan hanya duduk di rumah," katanya menerusi video yang dimuat naik oleh The Star TV hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Aset Chong Wei cecah RM300 juta]
Semalam, Sinar Harian memetik portal thecelebritiesnetworth.com yang melaporkan aset Chong Wei bernilai RM300 juta berdasarkan hadiah kemenangan, sektor perniagaan, duta kepada puluhan produk di peringkat antarabangsa dan tempatan, hartanah dan koleksi kereta mewah yang dimilikinya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perkara itu, Chong Wei memaklumkan bahawa beliau tidak merasakan ahli sukan di negara ini mampu mendapat jumlah aset seperti itu.
“Sukan di negara ini adalah berbeza berbanding dengan bola sepak di negara-negara lain, begitu juga dengan golf dan tenis," katanya.
Mengulas lanjut mengenai laporan tersebut yang tersebar secara meluas, Chong Wei berkata ia adalah perkara biasa bagi pengguna laman Facebook dan Twitter.
Dalam temasya sukan Olimpik Rio baru-baru ini, Chong Wei berjaya menghadiahan pingat perak buat negara walaupun tewas kepada jaguh China, Chen Long.