SHAH ALAM – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa beliau telah menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi politik negara secara keseluruhan khususnya melibatkan negeri Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Menurut Tunku Ismail, selain melontarkan suara mengenai peluang generasi muda berbakat untuk memainkan peranan lebih besar dalam membina negara ini, beliau turut bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai dasar dan prinsip diamalkan oleh kerajaan.
“Ini adalah antara isu-isu yang saya sampaikan kepada Perdana Menteri selain daripada isu-isu semasa lain di negara ini.
“Datuk Seri Najib turut berkongsi pandangan dan pendapat beliau kepada saya malah saya turut menyuarakan bukan sahaja kebimbangan tetapi juga suara rakyat,”katanya menerusi wawancara khas yang dimuat naik ke dalam laman Facebook Johor Southern Tiger semalam.
Tunku Ismail berkata, apabila berdepan masalah, beliau lebih gemar berterus terang dan menangani kesulitan yang hadapi dengan seberapa segera.
Ujarnya, beliau tidak suka untuk menyembunyikan masalah seperti sesetengah pemimpin tertentu yang hanya mahu bercuti percuma atau melobi projek-projek tertentu.
“Apabila saya menghadapi masalah, kelebihan saya adalah mampu untuk berhadapan dan membincangkan masalah tersebut serta mengendalikannya secara 'gentlemen'.
“Saya tidak bersembunyi di sebalik komputer dan hanya menulis di laman Facebook kerana saya bukannya seorang pengecut, yang membaling batu sembunyikan tangan,”katanya.
Tambah Tunku Ismail, beliau melakukan semua ini atas satu tujuan untuk memastikan Malaysia mencapai sebuah negara maju di samping memperjelaskan lagi pendiriannya terhadap pendidikan dan gejala rasuah.
“Saya akan terus bersuara serta memberi pandangan kepada pemimpin-pemimpin negara ini demi kepentingan rakyat.
“Selain itu, perbualan peribadi antara Datuk Seri Najib dan saya adalah antara kami sahaja. Bukan urusan orang lain,”katanya.