KOTA TINGGI - Pihak polis menahan seorang lelaki yang dilapor cuba merogol seorang pekerja salun di Jalan Balau 11, Bandar Penawar di sini Khamis lalu.
Lelaki tersebut ditahan di sebuah rumah di Jalan Batu Mas, Sungai Rengit, Pengerang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, sebuah Perodua Myvi yang disyaki digunakan suspek semasa kejadian turut dirampas.
Beliau berkata suspek yang berasal dari Paya Mengkuang, Bachok, Kelantan kini ditahan reman selama tujuh hari hingga Khamis ini untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, leher mangsa yang berusia 31 tahun itu telah dipaut dengan kasar dan badannya dihempas di lantai, katanya.
Rahmat berkata, mangsa ketika itu sedang keseorangan di salun berkenaan apabila didatangi seorang pelanggan yang dikenalinya.
"Suspek berusia 23 tahun itu kemudian bertindak agresif ke atas mangsa dengan cuba menarik seluar Jeans mangsa, menarik rahang dan memaut leher mangsa dari belakang.
"Mangsa kemudian dihempas ke atas lantai," katanya.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa cedera di muka, mulut dan beberapa anggota badan.
Beliau berkata, mangsa hanya dilepaskan sebaik anak perempuan mangsa datang ke salun berkenaan dengan suspek bertindak melarikan diri.
Hasil laporan mangsa, suspek diburu di sebuah rumah di Jalan Batu Mas, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment