KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah dan dipercayai cuba terjun dari kediaman keluarganya di tingkat tiga sebuah flat di Pandan Mewah di sini, sempat diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan sembilan tahun itu dilihat cuba terjun dari belakang rumahnya setelah mencampakkan beg berisi pakaian ke bawah bangunan flat berkenaan kira-kira 10.30 pagi ini.
"Sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan dikejarkan ke lokasi itu sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.34 pagi namun didapati pintu utama rumah itu berkunci serta tiada penjaga.
"Bagaimanapun, pasukan penyelamat berjaya memasuki rumah berkenaan melalui pintu dan berjaya memujuk kanak-kanak terbabit sebelum dibawa turun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mohd Sani berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu tinggal bersendirian kerana keluarganya keluar bekerja.
Beliau berkata, operasi tamat pada 11.06 pagi dan kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Bernama