KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki berperwatakan lembut dikenali sebagai 'Alia', dipercayai mengugut untuk menyebarkan video lucahnya bersama seorang pemandu GrabCar di Jalan Loke Yew, di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek bertindak mengugut lelaki berusia 24 tahun itu kerana enggan menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,000 kepadanya selepas mereka melakukan hubungan bersama.
"Suspek yang berusia 28 tahun itu telah ditahan dan polis masih lagi meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedua-dua lelaki berkenaan bertemu pada Rabu (5 April) lepas di Flat San Peng, Jalan Pudu, sebelum bersetuju untuk mengadakan hubungan sulit.
Menurut Hamzah, mangsa diugut untuk menyerahkan wang kepada suspek pada hari yang sama.
Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - Bernama