Nuffnang

Monday, November 18, 2019

Sebak! Susah senang bersama, warga emas tak sanggup usung keranda isteri ke kubur - “Tak ada orang teman lagi lepas ni”


Sebak! Susah senang bersama, warga emas tak sanggup usung keranda isteri ke kubur - “Tak ada orang teman lagi lepas ni”

Suami tidak ikut serta mengusung jenazah isterinya ke tanah perkuburan kerana terlalu sebak.
SETIA hingga ke hujung nyawa.
Begitulah yang dapat menggambarkan rasa cinta lelaki warga emas ini terhadap isterinya yang baru meningggal dunia beberapa hari lalu.
Biarpun hidup serba daif di Kampung Tanah Merah, Sandakan, pasangan ini mampu mempertahankan cinta dan rumah tangga mereka sehingga ke akhir hayat.
Kisah meruntun hati ini dikongsi Yunizam Yusop yang menawarkan perkhidmatan van jenazah percuma di Sandakan, Sabah di Facebooknya sehingga mengundang sebak netizen.
Malah Yunizam mengakui dia sendiri gagal menahan sebak sebaik melihat kehidupan pasangan itu.
"Memang saya terkejut pada masa sama sayu dan sedih. Bila saya tanya jiran mereka pasal anak-anak, jiran beritahu mereka hanya hidup berdua.
Kelengkapan kain kafan turut disediakan Yunizam untuk arwah isteri lelaki warga emas itu kerana mereka kurang berkemampuan.
"Tiada anak, saudara mara dan harta untuk dibanggakan. Maknanya siapa meninggal awal dialah yang akan uruskan jenazah yang pergi dulu.
"Mereka berdua menyewa di sebuah bilik dengan bayaran RM100 sebulan. Kalau ada seringgit di tangan, maka seringgitlah yang akan dibayar kepada tuan rumah," katanya kepada mStar.
Jelas pemuda berusia 31 tahun itu, dia tergamam apabila melihat keadaan dapur yang dijadikan tempat untuk memandikan jenazah isteri warga emas itu yang menghembuskan nafas terakhir pada 12 November baru ini.
Masa nak pergi kebumi jenazah isteri dia, suami cakap tak dapat ikut sekali. Dia kata betul-betul sedih sebab tak ada orang teman dia lagi lepas ni.
YUNIZAM YUSOP.
Pemilik van jenazah percuma.
"Saya lega bila suami kata jenazah isteri akan dimandikan dan ada jiran kampung yang akan uruskan jenazah. Alhamdulillah segalanya sudah diatur dan tinggal tunggu urusan pengebumian.
"Sebaik si suami menunjuk bahagian dapur saya terdiam. Dia beritahu kau tengoklah dapurku apa pun tiada. Gas memasak pun tiada. Semua kosong.
"Ya Allah dapur bertampal-tampal dengan papan. Memang menyedihkan tapi tetap teruskan mandikan jenazah sebab kalau bawa ke masjid takut merumitkan lagi keadaan," katanya.
Ruang dapur tempat memandikan jenazah.
Yusnizam turut mendedahkan pasangan itu hanya makan nasi putih yang dibeli di pasar berdekatan setiap hari.
"Bila saya tanya masak macam mana, suami beritahu dia hanya beli nasi kosong 50 sen dekat pasar berdekatan. Kalau ada duit lebih barulah beli lauk untuk dimakan dengan isterinya.
"Mendengar dia cakap begitu air mata saya terus mengalir laju. Dulu suami bekerja di sebuah pasar raya tetapi bila jatuh sakit dia terpaksa berhenti kerja," katanya.
Lebih menyedihkan, Yunizam berkata lelaki itu tidak sanggup mengiringi jenazah isterinya sehingga ke tanah perkuburan kerana terlalu sedih.
"Masa nak pergi kebumi jenazah isteri dia, suami cakap tak dapat ikut sekali. Dia kata betul-betul sedih sebab tak ada orang teman dia lagi lepas ni.
"Masa tu saya pun ikut nangis sekali. Ya Allah sedih. Begitu kuatnya cinta mereka. Tapi saya bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah dipermudahkan," katanya.
Perkongsian Yunizam atau lebih dikenali dengan panggilan Abam Botak itu menjadi tular di Facebook.
Urusan pengebumian isteri warga emas itu yang meninggal dunia akibat sakit tua dipermudahkan.
Rata-rata netizen meluahkan simpati dan sebak dengan nasib pasangan itu.
Mengenai perkongsian itu, Yunizam berkata ada mesej yang cuba disampaikan melalui kisah tersebut.
Katanya lagi, meskipun mereka hidup susah sebagai pasangan suami isteri mereka tetap hidup bersama.
"Apa yang membanggakan saya dan menjadi pengajaran buat semua adalah mereka berdua tetap setia hingga ke hujung nyawa. Hari ini banyak kita dengar kes penceraian rumah tangga berlaku kerana masalah kewangan.
"Namun dua insan ini mampu pertahankan cinta dan rumah tangga mereka sehingga akhir hayat. Meskipun hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

terbaek tapi ada manusia tak pernah rasa kaya sampai renta pun masih nak kaut untuk anak cucu dan kroni

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung