Calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertelagah sesama sendiri berhubung siapa yang perlu menarik diri bertanding kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan 7 Disember depan.

Ini kerana kedua-dua parti itu telah bergabung membentuk Kerajaan Pusat, tetapi masing-masing tetap meletakkan calon di kerusi berkenaan. Hari mengundi kerusi Parlimen itu ditangguhkan daripada 19 November lalu susulan kematian calon PH.

Calon BN Datuk C Sivaraj ketika mengulas permintaan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak agar MIC memberi laluan mudah kepadanya, menyifatkan adalah tidak adil baginya untuk berbuat demikian.

Sebaliknya Sivaraj berkata Mohamad Sofee yang sepatutnya memberi peluang kepadanya menang di kerusi tersebut kerana dia telah memberi khidmat di kawasan itu selama tiga tahun.

“Saya telah bekerja di sini sejak tiga tahun lalu manakala Sofee baru tiba di sini sehari sebelum hari penamaan calon (24 November).

“Jadi adalah tidak adil untuk meminta saya memberi laluan kepada Sofee hanya kerana BN memberi laluan kepada calon PH di DUN (Dewan Undangan Negeri ) Tioman. Itu bukan masalah saya,” katanya menurut Sinar.

Sivaraj berkata calon PH perlu memberi laluan kepadanya untuk bersaing dengan calon Perikatan Nasional di kerusi Parlimen itu.

“Jika dia (Sofee) bersetuju bahawa PH dapat membentuk kerajaan Persekutuan dengan bantuan BN, adalah lebih bijak dia memberi laluan kepada kita supaya BN dapat berlawan terus dengan Perikatan Nasional.

“Tidak adil anda minta saya beri laluan. Itu tidak logik. Saya tidak akan sesekali bersetuju dengan permintaan itu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PKR Kedah menaruh harapan agar BN berkompromi untuk mereka berdepan secara satu lawan satu dengan Perikatan Nasional.