Walaupun agak janggal apabila berada sepentas berceramah bersama dengan UMNO, namun Mohamad Sabu sudah dapat membiasakan diri dan mula serasi dengan rakan politik baharu mereka itu.

Presiden Parti Amanah itu mengakui pada mulanya agak berdebar untuk bersama-sama berkempen dengan UMNO kerana baharu sahaja berkahwin secara rasmi dalam hubungan kerjasama politik, namun melahirkan rasa bangganya dapat berada sepentas dengan parti itu.

“Berdebar juga, ini adalah satu peristiwa baru kepada saya dan saya mendokong keputusan Pakatan Harapan.

“Saya diminta oleh mesyuarat PH (Pakatan Harapan) semalam untuk hadir malam ini untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) mewakili DUN Tioman… Memanglah tak pernah lagi dikelilingi oleh rakan-rakan daripada UMNO,” katanya kepada media selepas ceramah di Rompin malam tadi.

Untuk rekod, Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu semasa ceramah malam tadi buat julung kalinya berceramah sepentas dengan pemimpin UMNO.

Hadir sama berceramah dengan Mat Sabu malam tadi juga adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy dilantik sebagai MB Pahang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH yang terdiri daripada DAP bersama.

Rosdy juga memberi penjelasan berhubung keputusan UMNO-BN memilih PH-DAP bagi bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri dan bukannya Perikatan Nasional.

Berbeza dengan situasi sebelum ini, Mat Sabu antara yang paling lantang mengkritik pemimpin UMNO kerana didakwa sebuah parti perasuah terbesar.

Umum juga mengetahui, sepanjang kempen PRU-15 lalu, pemimpin PH juga sering menafikan akan menjalin kerjasama dengan BN-UMNO namun sebaliknya berlaku apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-10. agendadaily