Kabinet baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bakal menyaksikan tiada wakil daripada parti DAP mahu pun UMNO yang akan diberikan portfolio untuk menjaga Kementerian Kewangan.

Menurut laporan portal New Straits Times, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang pada mulanya dikatakan bakal mengisi kekosongan Menteri Kewangan tidak terpilih bagi jawatan penting itu, sebaliknya individu lain yang dilantik.

Untuk rekod, Guan Eng sedang berdepan pendakwaan di mahkamah berhubung kes rasuah terowong bawah tanah Pulau Pinang.

Lebih mengejutkan, NST mendedahkan jawatan Menteri Kewangan dikekalkan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul sebelum ini menjadi Menteri Kewangan yang berkhidmat di bawah dua Perdana Menteri (PM) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jika laporan ini benar, ia juga mempunyai asas memandangkan PM Ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini masih bergelut dalam memuktamadkan barisan menteri Kabinetnya sejak mengangkat sumpah pada 24 November lalu.

Menurut laporan NST lagi, Johari masih berada dalam Kabinet tetapi memegang portfolio yang lain, sementara Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga dipilih bagi portfolio yang lain.

Sumber itu juga mendakwa bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff bakal dilantik semula di Dewan Rakyat nanti. AGendadaily