Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa tidak mengikut sikap sama seperti UMNO yang menabur fitnah dengan membuat tuduhan tidak berasas terhadap parti lawan.

PAS membidas Perdana Menteri (PM) yang dilihat semakin menjadi-jadi tindak-tanduknya sejak menerima UMNO-Barisan Nasional (BN) sebagai rakan strategik politik dengan Pakatan Harapan (PH)-DAP sehingga membentuk sebuah kerajaan campuran di peringkat pusat baru-baru ini.

“PAS amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.

“Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada,” kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan malam tadi.

Takiyuddin juga berkata sekiranya Anwar gagal membuktikan tuduhan liarnya tersebut, tindakan mengikut undang-undang akan dipertimbangkan terhadap Presiden PKR yang sangat sayang dengan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO itu.

“Sekiranya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar mendakwa dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya semasa sidang media semalam.