Walapun mengalami kekalahan teruk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), nampaknya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih tidak insaf dan merasakan dirinya betul.

Presiden UMNO yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri atas ihsan Pakatan Harapan (PH) dan DAP, menafikan akan menjual parti tersebut dan berkata akan mempertahankan maruah parti walaupun terpaksa bersama dengan seteru utamanya sebelum ini DAP dan PKR.

“Kita tolak parti ekstremis dari segi agama dan kaum, kita (BN) tidak jual agama dan kaum. Itu kita akan pertahan sebagai akar tunjang kita.

“Tapi, apa kita lakukan mesti dengan keizinan Allah SWT, keikhlasan demi agama, bangsa dan negara. Itu yang harus kita pertahankan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Zahid juga berkata tidak perlu takut untuk bekerjasama dengan DAP kerana syarat sudah diletakkan dan parti lawannya itu juga sudah akur dengan syarat tersebut.

“Jangan takut, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (setiausaha agung), kami bertemu DAP bersama pimpinan PH lain sebelum kerajaan dibentuk.

“Soalan pertama saya, bagaimana kedudukan Islam, bagaimana kedudukan bahasa Melayu, hak orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu jika bekerjasama dengan DAP?

“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan kepimpinan baru parti itu akur dengan perkara dalam Perlembagaan termasuk empat perkara tersebut, apa kita hendak takut?,” soalnya.

Untuk rekod, Zahid bersetuju untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 dan selepas itu dilantik menjadi TPM.

Zahid membuat keputusan melanggar ketetapan yang dibuat UMNO semasa Perhimpunan Agungnya lalu, “No Anwar, No DAP” dengan mengheret Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional (BN) menyokong tindakan yang sama. agendadaily