PAS Selangor menempelak kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kerana gagal menangani masalah bahan mentah dan keperluan utama rakyat untuk hidup seharian, bukan cukai jalan digital

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata banyak lagi isu yang lebih kritikal sewajarnya ditangani oleh kerajaan PH-BN dalam membantu rakyat yang berdepan kenaikan harga barangan dan inflasi.

Ini katanya, termasuk masalah kekurangan telur ayam, harga sayuran yang meningkat selain harga minyak petrol yang tidak turun-turun sebagaimana dijanjikan.

“Banyak lagi isu lebih kritikal yang belum selesai dan perlu ditangani segera berbanding pelekat cukai jalan dan lesen memandu digital.

“Isu telur, minyak petrol yang tak turun-turun, harga sayuran yang naik, kos hidup yang membebankan, kenapa cukai jalan dan lesen digital yang diutamakan.

“Yang saya tahu tujuan cukai jalan dipamirkan di kenderaan dengan maksud memudahkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan. Sekatan jalanraya, kesalahan lalulintas dan sebagainya.

“Kalau ada SJR (sekatan jalan raya) dan masing-masing terkial-kial dan buka app dalam handset bayangkan jem yang akan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini (11 Februari 2023).

Roslan Shahir turut mempersoalkan bagaimana sekiranya kenderaan itu dipanduk isteri, anak atau rakan-rakan.

“Selesailah yang patut diselesaikan. Jangan cakap lain buat lain. Rakyat makin bosan dengan kerajaan campuran ini,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ketika menjelaskan keputusan itu, hari ini berkata ini kerana cukai jalan itu akan disediakan di atas platform digital melalui aplikasi MyJPJ.

Bagaimanapun langkah itu mendapat kritikan netizen.