Pakatan Harapan (PH) dilihat seolah-olah memperlekehkan anak muda apabila mengatakan mereka yang kurang berpelajaran, tiada pendapatan tetap dan menunggang motosikal ke sana sini, hanya mengundi Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwanya adalah hasil kajian dilakukan pasukannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Kesimpulan kajian itu katanya, mendapati rakyat yang kurang berpelajaran dan pendapatan mereka juga tidak tetap telah memberi undi kepada PN pada PRU-15 lalu.

Pada masa sama, beliau mendakwa rakyat, terutama dalam kalangan pengundi muda yang memiliki pelajaran dan pendapatan yang tinggi lebih memilih mengundi PH.

“Peratus pengundi muda dan medium pendapatan maknanya purata pendapatan… kita dapati bahawa semakin tinggi pelajaran semakin stabil pendapatan dia… hat (yang) lepas pilihan raya baru ni (PRU-15)… depa (mereka) ni undi kita (PH).

“Mana hat pelajaran tak berapa tinggi… pendapatan tak berapa tetap hat tu… hat naik motor sana sini bagi (undi) kat Perikatan (Nasional). Dia (data) tunjuk lagu (macam) tu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika taklimat pada Konvensyen Pakatan Harapan Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani, semalam (25 Februari).

Saifuddin antara pemimpin PKR yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya.

Beliau kalah di Parlimen Kulim Bandar Baharu pada PRU-15 lalu, tetapi dilantik Senator untuk diberikan jawatan Menteri Dalam Negeri kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dapatan itu adalah kesimpulan yang beliau buat setelah mengarahkan pasukan kajiannya melakukan analisis keputusan PRU-15 di 222 kawasan Parlimen, termasuk di Kedah, di mana PH hanya menang satu kerusi sahaja iaitu di Parlimen Sungai Petani.

Beliau berkata pasukan kajiannya telah mendapatkan data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Perangkaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Data tadi itu kita buat semua sekali 222 kerusi Parlimen. Semua kita analisa. Kemudian kita tengok ada beberapa trend yang berlaku peringkat nasional tapi tak sama berlaku di Kedah.

“Ada beberapa trend lah yang kita kesan itu adalah makin tinggi pendapatan rakyat, makin padat satu-satu kawasan iaitu perbandaran, kebanyakannya corak mengundi itu mai kat kita (PH),” katanya.

Selain itu, Saifuddin juga berkata kajian dilakukan juga menunjukkan penduduk di kawasan yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19 adalah yang paling kuat menyokong PN.

“Ada satu lagi yang kami buat iaitu masa Covid dulu kita tengok. kawasan yang paling terkesan. Kita buat ujian stress. Paling terkesan. Kawasan yang paling terkesan tinggi stressnya kawasan itu paling kuat Perikatan Nasional. Itu satu. Satu lagi corak yang kita tengok dah,” katanya. AD