Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) mendengar janji yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dibangkitkan mereka.

Bagaimanapun, PEN Mutiara masih tidak percaya dengan janji Perdana Menteri (PMX) untuk mengendalikan isu PSI yang didakwa akan menjejaskan punca pendapatan mereka selagi tidak dibuktikan dengan menunaikan janjinya itu.

Timbalan Pengerusi PEN Mutiara, Zakaria Ismail, berkata pihaknya kini tidak mahu percaya lagi kepada mana-mana kenyataan berhubung kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) PSI itu.

“Itu hanya cakap PM (Perdana Menteri) sahaja dan kami (nelayan) belum lagi bertemu dengannya. Buat masa ini, kami tidak mahu percaya dengan mana-mana kenyataan, sehinggalah PM keluarkan kenyataan muktamad, barulah kami percaya.

“Untuk percaya, minta maaflah selagi tiada tindakan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, pihaknya akan terus membuat rayuan bagi memastikan projek berkenaan dibatalkan.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, pihaknya akan terus membuat rayuan bagi memastikan projek berkenaan dibatalkan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Pengarah persatuan nelayan, ketua unit nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa depan bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

“Segala ketetapan akan dibuat dalam mesyuarat itu dan pada masa sama kami akan terus berjuang bagi membatalkan projek berkenaan,” katanya yang juga Ketua Unit Nelayan Sungai Batu.

Semalam, media melaporkan kenyataan Anwar yang mendakwa sudah mengemukakan beberapa kebimbangan mengenai isu itu, terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses berkenaan berjalan terlebih dahulu.

Anwar berkata, sekiranya nelayan dan penduduk setempat masih mahu mengemukakan bantahan, beliau sedia mendengarnya dan masa sama, kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan.

Sementara itu Pengerusi PEN Mutiara, Ibrahim Che Ros, menegaskan yang pihaknya mahu bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkenaan.

“Apa-apa pun, kita mahu jumpa PM dan tuntut janji yang dilafaz di hadapan nelayan Sungai Batu kerana ia membabitkan nasib lebih 6,000 nelayan,” katanya ketika dihubungi di sini.

EIA bagi projek PSI diluluskan JAS dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi menerusi surat kepada kerajaan Pulau Pinang, bertarikh 11 April lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu, selain menjelaskan kerja tambakan hanya akan dimulakan pada suku ketiga 2023.