SEBELUM mengambil alih perniagaan restoran berkonsepkan makanan Cina Muslim daripada bapanya, pemuda ini pernah melalui kehidupan susah hingga terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan.
Malah anak bongsu kepada Datuk Mohd Chan Abdullah yang juga pengasas Restoran Mohd Chan ini pernah menjadi tukang masak di cawangan pertama mereka di Bukit Beruntung, Selangor.
Datuk Nik Chan yang berusia 34 tahun memberitahu, beliau mempunyai minat memasak sejak kecil dan mempelajari kemahiran itu daripada bapanya.
"Masa tu belum ada tukang masak, jadi saya bersama ayah yang masak. Bila perniagaan semakin maju dan pelanggan semakin ramai, barulah kami cari tukang masak tambahan.
"Masakan pertama saya di Restoran Mohd Chan adalah mi hokkien. Ketika itu, saya pernah masak sampai 50 pinggan mi hokkien sehari," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.







