SHAH ALAM - Empat rakan dipenjara oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Bangladesh, dua tahun lepas.
  
Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan masing-masing terhadap warga Bangladesh Md Babul, 35, dan seorang lelaki tempatan J. Selvam, 33.
  
Ghazali turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan terhadap dua wanita warga Indonesia, Norhayati Mohd Salem, 24 dan Indah Yulina, 24, berhubung dengan kes itu.
  
Hakim memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap pada 28 Mac 2013.
  
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas keempat-empat tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan kepada mereka hari ini.

Kesemua tertuduh bersama dengan empat lagi yang masih bebas didakwa melarikan Mursh Ali dengan maksud menyebabkan kurungan sulit dan salah terhadapnya di sebuah rumah di Batu 13, Puchong pada pukul 9 malam, 18 Mac 2013.
  
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda.
  
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh kesemua tertuduh.
  
"Ketika kejadian tertuduh sudah menerima wang tebusan berjumlah RM5,800 daripada keluarga mangsa selain mangsa tidak diberi makan dan minum yang sempurna sepanjang tempoh dikurung.
  
"Oleh itu, saya mohon satu hukuman yang setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat serta demi menjaga kepentingan awam," katanya. - Bernama