JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 38,400 bungkus rokok pelbagai jenis bernilai RM370,611 termasuk cukai dengan menggunakan bot laju dan kereta mewah di Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, awal hari ini.
Klik Sini Untuk Like dan dapatkan Berita terkini
Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisoner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kegiatan terbabit yang menggunakan sebuah bot laju berserta dua enjin sangkut 200 kuasa kuda mula dikesan bot ronda RH32 yang melakukan operasi di perairan Desaru, Bandar Penawar, kira-kira 2.30 pagi.
"Bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan dan apabila diarahkan berhenti, bot itu terus memecut untuk meloloskan diri sebelum berjaya ditahan bot ronda RH32 apabila ia mendarat di tepi pantai berhampiran Kompleks Sukan Air dan Udara (Pulau Hijau), Bandar Penawar," katanya menerusi kenyataan di sini.
Khon Chiang berkata, dua suspek dilihat terjun dari bot terbabit lalu melarikan diri ke kawasan hutan pesisir pantai dan pemeriksaan terhadap bot itu kemudian menemui muatan bungkusan plastik hitam berisi 23,700 bungkus rokok seludup pelbagai jenis.
Beliau berkata, bertindak di atas maklumat yang disalurkan bot ronda RH32, PPM yang melakukan operasi di daratan pula membuat serbuan berhampiran Kompleks Sukan Air dan Udara itu kira-kira sejam setengah kemudian dan menemui beberapa individu yang sedang memunggah barangan ke dalam sebuah kereta.
Katanya, kesemua mereka melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sejurus menyedari kehadiran polis.
Pemeriksaan terhadap kereta jenis Mercedes Benz Elegance E320 itu pula menemui 14,700 bungkus rokok pelbagai jenis yang dipercayai diseludup, katanya.
"Kesemua rampasan 38,400 bungkus rokok berserta kereta, bot dan enjin sangkut yang dianggar bernilai RM460,000 itu dibawa balik ke pangkalan PPM Pengerang untuk disiasat lanjut," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment