SHAH ALAM – Pemecatan seorang jururawat sebuah hospital baru-baru ini bukan disebabkan cara pemakaian jururawat tersebut, sebaliknya disebabkan oleh masalah disiplin yang membabitkan jururawat tersebut.
Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service, Regina Sundram berkata, jururawat tersebut dipecat kerana tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab.
“Dia tidak hadir selama dua hari tanpa sebab dan tidak melaporkannya kepada pihak pengurusan bahawa dia tidak hadir.
"Kami anggap dia secara tidak langsung telah berhenti kerja. Dia diberhentikan bukan kerana pakai pakaian lengan panjang.
"Mengikut akta buruh, sekiranya pekerja tidak hadir bekerja lebih dari dua hari bekerja, boleh dikira telah berhenti” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini, hari ini.
Semalam, seorang jururawat Naziah Sauni Samat, 24, bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mengadakan sidang dan mendakwa dibuang kerja hanya kerana cuba menutup aurat semasa bekerja.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat dilarang tutup aurat?]
Naziah mendakwa, dia tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang ketika menjalankan tugas.
Sementara itu, Regina mengakui pihaknya tidak membenarkan jururawatnya mengenakan pakaian seragam berlengan panjang.
Menurut Regina, hospital itu sememangnya menetapkan garis khusus untuk jururawat Muslim dan bukan Muslim.
Jururawat bukan beragama Islam dikehendaki memakai seragam seluar panjang dan kemeja lengan pendek manakala bagi jururawat beragama Islam pula, kata Regina, pakaian yang ditetapkan iaitu berseluar panjang, kemeja pendek dan boleh memakai anak tudung.
"Kami tidak melanggar akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, malah peraturan pemakaian seragam berlengan pendek dibuat untuk mengelak jangkitan kuman pada pesakit dan memudahkan kerja," jelasnya.
Menurut Regina, pihak pengurusan hospital berkenaan telah memberi penjelasan bahawa pemakaian seragam berlengan panjang memang tidak dibenarkan dan peraturan begitu tiada tertakluk kepada mana-mana akta yang ditentukan kerajaan.
Sebelum ini, katanya, pihak hospital turut memberikan ruang bagi Naziah berfikir sama ada untuk meneruskan kerja di situ atau berhenti sendiri.
Bagaimanapun tambah Regina, Naziah datang bekerja dengan memakai stoking lengan dan ia telah melanggar peraturan pemakaian hospital.
No comments:
Post a Comment