PENGANJURAN
  perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, bakal berubah dari aspek kelolaan antaranya dendangan LaguNegaraku akan dinyanyikan secara langsung oleh tetamu jemputan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata amalan menyanyikan lagu kebangsaan secara langsung di stadium telah dilakukan oleh kelab terkemuka di England dan Eropah dan ia kini antara pendekatan baharu pihaknya.
"Akan ada perubahan pada penganjuran perlawanan pada musim baharu ini, kerana kali ini kita cuba terapkan konsep muhibbah, kekeluargaan dan keprihatinan.
"Penjualan tiket secara mudah dan awal selain penglibatan lebih banyak atlet, budayawan, tokoh serta ruang untuk jemputan khas seperti anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan individu berjaya. Azan juga akan berkumandang secara 'live' dari stadium," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam.
Oleh itu, Annuar menambah Kafa akan mengadakan rundingan dengan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam untuk membincangkan perkara itu secara terperinci.
Laporan akhbar  sebelum ini menyatakan, Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida mahu menyuntik kelainan kepada stadium.
Kelantan antaranya mewarnakan stadium itu merah jambu bagi menimbulkan elemen kekeluargaan di stadium itu sepanjang saingan Liga M musim ini.
Pada Jumaat lalu, Kafa dan Vida mencapai kata sepakat mengenai perjanjian tajaan pasukan Kelantan  selama dua musim.
Difahamkan syarikat kosmetik Vida Beauty akan memperuntukkan sebanyak  RM20 juta bagi memastikan skuad Kelantan berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.
Datuk Vida dipetik sebagai berkata sebanyak RM16 juta untuk tajaan pasukan Kelantan, RM3 juta bagi kempen promosi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta RM1 juta menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri
.