KOTA BHARU – Perbuatan seorang buruh memukul isteri dengan penyapu hingga lebam seluruh badan dan retak tulang lengan kiri, mendapat balasan setimpal apabila dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
Azman Ali, 45, dihukum selepas mengaku salah menyebabkan kecederaan kepada Nor Hayati Ismail, 47, bertempat di Kampung Baloh Kok Lanas, Ketereh, di sini, pada jam 5 petang, 20 November tahun lalu.
Dalam kejadian itu, pengadu yang berada di dapur berpaling melihat suaminya memegang batang penyapu dan memukul pengadu di bahagian kepala. Pengadu menghalang dengan tangan kiri dan cuba lari menyelamatkan diri hingga terjatuh. Suami terus memukul pengadu di pinggang dan betis kiri.
Dia kemudian menarik tangan pengadu untuk keluar dari rumah sambil pengadu pula menahan dengan kaki dan menjerit meminta bantuan. Adik ipar pengadu dan orang ramai datang membantu serta membawa pengadu ke rumah jiran.
Pengadu kemudian membuat laporan dan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Tertuduh ditahan dan sebatang penyapu patah dirampas sebagai barang bukti kes.
Dalam perkembangan sama, tertuduh juga didenda RM1,500 atau penjara dua bulan jika gagal jelas denda kerana kegagalan mengemukakan kad pengenalan ketika diminta pihak berkuasa.
Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam awam merayu diringankan hukuman, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Ainun Zafirah Abd Halim memohon satu hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai agar tidak mengulangi jenayah sama.
Pasangan berkenaan dikurniakan empat anak dan tertuduh dipercayai positif dadah serta dikatakan kerap kali memukul isterinya itu
.