SABAK BERNAM - Teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu tindakan diambil terhadap segelintir pihak yang mencetuskan kekacauan dengan berselindung di sebalik nama NGO di negara ini ditujukan khas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Mohamed Azmin perlu lebih jujur dan amanah dalam mentadbir negeri ini.
“Jangan menggunakan NGO untuk kepentingan atau pun menutup kelemahan beliau sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Jamal menegaskan, Sultan Sharafuddin berasa agak gusar dan mungkin berasa dukacita dengan perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Kalau dilihat kumpulan daripada pihak pembangkang ini yang terang-terang membuat demonstrasi menggunakan NGO... mereka ini terdiri daripada kalangan pakatan pembangkang seperti DAP, Amanah, Bersatu dan lain-lainnya.
“Teguran ini saya anggap adalah wajar kerana mereka telah bertahun-tahun menganjurkan demonstrasi haram daripada penganjuran Bersih yang bermotifkan politik semata-mata,” katanya.
Situasi itu, ujar beliau, sudah pasti mendapat respons daripada politik parti lawan yang lain.
“Selepas BN diberikan kepercayaan sekali lagi oleh rakyat untuk memerintah negara ini pada pilihan raya umum lalu, mereka ini berterusan mengadakan kempen demonstrasi membantah pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya.
Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 07 Puncak Alam, Mohd Razib Mohd Talib berkata, mana-mana NGO yang dikenal pasti jelas membawa haluan kiri wajar dikenakan tindakan.
Menurutnya, cukup bahaya NGO yang dilihat secara zahir ini lebih ke arah menjatuhkan sesebuah pemerintahan dengan niat tanpa selindung dan menjadi 'hantu' kepada mana-mana parti politik sehingga menjejaskan amalan demokrasi negara.
“Hasutan terbuka dalam mana-mana laman web dan kalau mereka betul-betul ingin pemerintahan yang bersih, lebih baik gunakan saluran yang betul dan tunggu saja masa pilihan raya umum nanti.
“Bukan semua NGO ni tak betul. tapi yang penting, kita perlu sokong mana-mana NGO yang tidak berniat menggadaikan negara kita ini dan mempertahankan maruah bangsa, agama dan keamanan,” katanya.
Mohd Razib berkata tidak menjadi masalah sekiranya NGO berpaksikan pada undang-undang negara dan tidak melanggar akta hasutan tetapi pihak berkuasa wajar bertindak tegas jika mereka ada niat yang terselindung dan dibayar untuk tujuan itu.
“Sebagai contoh, dalam kalangan penduduk sendiri ada yang jenis suka sembang kosong saja di kedai kopi dan menjadi wakil tidak dilantik untuk menyebarkan viral tidak betul...ini lebih bahaya sebenarnya kerana terlalu percayakan fakta tidak berasas.
“Bagi saya, semua pihak bertanggungjawab dan pihak berwajib boleh batalkan NGO yang jelas memecahbelahkan perpaduan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment