KUALA TERENGGANU - Anggota keluarga mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) meminta supaya diberikan masa dan ruang untuk mereka bertenang sehingga keadaan benar-benar reda.
Mohd Aziruddin Majid, adik ipar Mahani Ngah yang meninggal dunia bersama lima yang lain berkata mereka memerlukan sedikit masa untuk bertenang dan menghadapi situasi tersebut memandangkan semua anggota keluarga terutama mangsa yang terlibat masih lagi trauma.
"Sekarang ni semua mangsa masih lagi trauma, terutamanya suami Mahani (Ahmad Nasal Abd Rahman)...jadi buat masa sekarang eloklah kalau semua pihak tidak mengganggu keluarga kami terutamanya mangsa yang terlibat.
"Bila ada pihak yang berjumpa dan bertanya berkaitan kejadian tersebut kepada mangsa, ianya akan menimbulkan kembali trauma. Semalam pun, ramai yang tanya hal kejadian dengan Ahmad Nasal sehinggakan beliau jadi semakin trauma dan menangis-nangis mengenangkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mohd Aziruddin berkata Ahmad Nasal, 52, yang merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) semasa kemalangan maut itu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Kemaman petang semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: LPT2 berdarah: Enam maut, empat parah]
Tiga lagi anaknya Quratul Ain, 14, Ahmad Shakir, 12, dan Ahmad Mukriz, 3, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dilaporkan semakin stabil dan menunjukkan perkembangan positif.
"Alhamdulillah, Ahmad Nasal dah dibenarkan pulang...pagi tadi, kakak saya bagitahu kemungkinan Ahmad Shakir dan Ahmad Mukriz juga akan dibenarkan pulang hari ini manakala keadaan Quratul Ain juga semakin baik dan sudah mula dapat disuap bubur," katanya.
Mohd Aziruddin berkata meskipun reda dengan kejadian tersebut, keluarganya memerlukan masa untuk menerima dugaan tersebut.
No comments:
Post a Comment